KARTUNIS legenda, Ibrahim Anon berkongsi kenangan yang tidak dapat dilupakannya sepanjang hidup, yang mana kereta miliknya ditarik.
Menurut Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Ujang, kejadian berlaku pada pagi hari raya dengan empat orang penarik kereta hadir di hadapan rumahnya.
Katanya, perasaan ketika itu bercampur antara sedih, takut dan berdebar.
"Tapi sekarang ni rasa kelakar pula bila teringat kisah tu sebab diaorang ni muka je ganas tapi lembut hati.
"Lepas mereka cabut kunci kereta saya pelawa mereka masuk rumah pekena teh dan makan kuih.
"Sebelum bawa kereta pergi seorang daripada mereka siap pesan abang kalau ada urusan penting, nak guna kereta telefon je nanti saya hantar balik," kongsinya di Facebook.
Tambah Ujang, dia sempat beberapa kali meminjam kembali kereta tersebut untuk menyelesaikan urusan penting, sebelum ia akhirnya dijual bagi menampung hutang yang tertunggak.
Perkongsian itu dibuat selepas dia membaca komen seorang penarik kereta di TikTok Podcast Tanah Berdaulat yang memaklumkan bahawa dia pernah menarik kereta Ujang.
Notis Jadual Keempat akan diberikan kepada pemilik kenderaan beberapa minggu sebelum kereta ditarik. -Gambar hiasan
Sementara itu Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) berkongsi panduan kepada mereka yang berdepan situasi kereta ditarik.
1. Siapakah yang boleh menarik kenderaan?
- Biasanya institusi perbankan akan melantik penarik yang berdaftar dengan Persatuan Syarikat-Syarikat Sewa Beli Malaysia.
- Sebelum menarik balik kenderaan, penarik mesti menunjukkan kad pengenalannya, kad kuasa dan surat arahan penarikan yang dikeluarkan oleh institusi perbankan.
- Anda boleh meminta untuk melihat kad pengenalan dan kad kuasanya sebelum menyerahkan kenderaan bermotor anda.
2. Apakah proses dalam penarikan balik kenderaan?
- Institusi perbankan perlu menghantar Notis Jadual Keempat terlebih dahulu yang merupakan notis bertulis menyatakan hasrat untuk menarik kenderaan.
- Notis ini akan luput dalam masa 21 hari. Notis kedua akan dikeluarkan 14 hari selepas tarikh notis Jadual Keempat.
- Anda boleh mengelakkan penarikan kenderaan dengan membayar jumlah tertunggak seperti yang dinyatakan dalam Jadual Keempat.
3. Apakah yang akan berlaku selepas penarikan balik?
- Dalam masa 21 hari, institusi perbankan akan memberi kepada anda dan setiap penjamin notis Jadual Kelima yang membenarkan anda membayar balik jumlah hutang kepada institusi perbankan.
- Anda boleh meminta institusi perbankan untuk memulangkan kenderaan bermotor anda dengan menjelaskan semua jumlah yang tertunggak dan belanja tunai langsung.
- Atau membayar balik jumlah baki hutang sepenuhnya dan menyelesaikan semua belanja tunai langsung.