suria

Calon Presiden Colombia maut selepas ditembak... Ketahui 6 kes jenayah tragis sasar ahli politik Malaysia

Laporan akhbar The Star mengenai kes pembunuhan Mazlan Idris pada 1993.

CALON Presiden Colombia, Miguel Uribe Turbay meninggal dunia pada Isnin dua bulan selepas ditembak ketika menghadiri satu perhimpunan pilihan raya di ibu negara Bogota.

Hospital Santa Fe di Bogota memaklumkan bahawa ahli politik berusia 39 tahun itu mengalami pendarahan otak sejak beberapa hari lalu, selepas menjalani pembedahan susulan cubaan untuk membunuh dirinya.

Ahli politik konservatif itu ketika kejadian berkempen bagi pencalonan parti Pusat Demokratik untuk bertanding pada pilihan raya presiden tahun depan.

Insiden tembakan terhadap ahli politik bukan perkara baharu dengan di Amerika Syarikat (AS) sahaja terdapat 10 kes tembakan dan pembunuhan membabitkan calon dan Presiden AS telah direkodkan.

Antaranya Donald Trump yang ditembak ketika berkempen pada 13 Julai 2024; Ronald Reagan (1981) parah ditembak John Hinckley Jr; Gerald Ford (1975) menghadapi dua cubaan bunuh dalam tempoh 17 hari, namun tiada kecederaan; George Wallace (1972) ditembak empat kali ketika berkempen dan lumpuh seumur hidup.

Selain, Robert F. Kennedy (1968) ditembak mati di Hotel Ambassador, Los Angeles; John F. Kennedy (1963) dibunuh oleh Lee Harvey Oswald di Dallas, Texas; Franklin D. Roosevelt (1933) percubaan bunuh, namun terselamat tetapi Datuk Bandar Chicago terbunuh.

Theodore Roosevelt (1912) ditembak ketika berkempen, peluru kekal di dadanya; William McKinley (1901) dibunuh oleh anarkis Leon Czolgosz dan Abraham Lincoln (1865) dibunuh John Wilkes Booth di teater, Washington.

Abdul Samad (kiri) dibunuh dengan kapak, manakala Mohamad Taha (kanan) dibunuh kerana perseteruan politik.Abdul Samad (kiri) dibunuh dengan kapak, manakala Mohamad Taha (kanan) dibunuh kerana perseteruan politik.

Malaysia

Di negara ini juga tidak terkecuali terdapat beberapa kes melibatkan ahli politik antaranya:

1. Abdul Samad Gul Ahmad Mianji 

- Beliau merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas Hulu yang ditikam dengan kapak dan mati akibat kecederaan tersebut pada 3 Julai 1967.

2. Dr Joe Fernandez

- Doktor perubatan ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas, Kedah.

- Beliau ditembak tiga kali oleh dua lelaki menunggang motosikal ketika sedang memandu pulang dari kliniknya pada 5 November 2000, berhampiran persimpangan Jalan Maju dan Jalan Harapan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

3. Krishnasamy Shiman

- Adun Tenggaroh, Johor ditembak mati dalam lif di bangunan ibu pejabat MIC Johor di Jalan Segget, Johor Bahru, pada 11 Januari 2008.

- Beliau ditembak satu das tembakan tepat di kepala.

4. Mazlan Idris

- Beliau adalah Adun Batu Talam, Pahang, yang dibunuh pada Julai 1993.

- Pembunuhannya melibatkan unsur mistik dilakukan oleh bomoh terkenal Mona Fandey.

- Mona Fandey dan dua yang lain didapati bersalah dan dihukum mati melalui gantung sampai mati; hukuman tersebut telah dilaksanakan pada 2 November 2001.

5. Mohamad Taha Talib

- Beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Speaker) Negeri Sembilan yang dibunuh pada 1982.

- Kes itu menarik perhatian kerana suspek adalah Datuk Mokhtar Hashim, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada ketika itu.

- Kes tersebut berlaku akibat perseteruan politik dalaman parti.

- Mokhtar dihukum mati pada 6 Mac 1983, tetapi kemudian mendapat pengampunan diraja dan dilepas pada 10 Julai 1991.

6. Norjan Khan Bahadar

- Ketua Wanita Umno bahagian Papar yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah ditemukan mati dibunuh pada 11 Februari 2004 di sebuah hotel.

Artikel Lain

“Belum ada tarikh” - Erra Fazira

Bapa Amir Raja Lawak meninggal dunia