suria

Bunyi kelakar tapi wujud! Ini 8 nama tempat unik di Malaysia, siap ada sejarah asal usul

Kampung Pening Lalat dalam filem Ahmad Albab semenangnya wujud di dunia nyata.

MUNGKIN ramai tidak sedar di negara kita terdapat pelbagai tempat dengan nama yang pelik dan unik.

Kebanyakan nama yang berada di kawasan luar bandar itu dan wujud sejak puluhan tahun lalu, membawa cerita tersendiri yang diwarisi turun-temurun.

Ada sesetengah nama mungkin dianggap rekaan semata-mata tetapi pada hakikatnya ia benar-benar wujud.

1. Kampung Pening Lalat

- Namanya sama seperti kampung yang terdapat dalam filem Ahmad Albab arahan Tan Sri P.Ramlee.

- Ia terletak di Semporna, Sabah.

- Kampung itu dipercayai mendapat nama kerana suatu ketika dahulu dipenuhi lalat, dipercayai akibat aktiviti ternakan atau pertanian.

- Gangguan lalat yang banyak memeningkan kepala penduduk, maka lahirlah nama Kampung Pening Lalat.

2. Kampung Atas Tol

- Terletak di Kuala Terengganu, Terengganu.

- Kawasan kampung itu asalnya gersang, berpasir dan lebih tinggi daripada kawasan sekitarnya menyebabkan penduduk memanggilnya atas tu.

- Pada 1924, penasihat British, J.L. Humphreys, menulis sebutan tempatan itu sebagai Atas Tol ketika memperkenalkan sistem daerah.

- Nama itu kekal hingga kini, seiring perkembangan pesat kampung tersebut.

3. Kampung Janda Baik

- Kawasan yang menjadi tumpuan ramai itu terletak di Bentong, Pahang.

- Pada 1918, ketika ramai penduduk Pahang cedera akibat perang saudara di Selangor mereka telah melalui kawasan ini untuk pulang ke Temerloh.

- Dalam perjalanan, mereka singgah di Pulau Santap dan dibantu oleh seorang janda yang merawat serta memberi perlindungan di rumahnya.

- Kebaikan wanita itu menjadi buah mulut penduduk dan kawasan tersebut akhirnya dinamakan Kampung Janda Baik.

Kampung Imam Lapar dan Kampung Atas Tol terletak di Terengganu.Kampung Imam Lapar dan Kampung Atas Tol terletak di Terengganu.

4. Kampung Imam Lapar

- Terletak di Kuala Terengganu, Terengganu.

- Dikatakan dua pedagang singgah di sebuah surau tepi sungai kerana lapar dan imam di surau itu begitu khusyuk menghafaz al-Quran sehingga tidak menyedari kehadiran mereka.

- Peristiwa lucu itu menjadi cerita turun-temurun dan kawasan tersebut dinamakan Kampung Imam Lapar.

5. Kampung Baru Jumpa

- Ia terletak di Tenom, Sabah.

- Asalnya didiami kaum Murut, kawasan ini kemudian ditinggalkan kerana kepercayaan adanya roh jahat selepas ramai penduduk jatuh sakit.

- Masyarakat Lundayeh dari Indonesia berpindah ke situ dan membuka penempatan baharu.

- Disebabkan sebelum itu mereka tidak pernah berjumpa antara satu sama lain, ungkapan di sini baru kita jumpa menjadi inspirasi nama Kampung Baru Jumpa.

6. Kampung Seronok

- Kampung yang dahulunya dikenali sebagai Kampung di Jalan Permatang terlelak di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

- Ia mendapat nama baharu pada 1946 apabila jurutera British, D.W. Grehan kagum melihat keharmonian dan keceriaan penduduknya.

- Beliau kemudian mencadangkan nama Kampung Seronok dan nama itu kekal sehingga kini.

7. Desa Temu Jodoh

- Terletak di Segamat, Johor.

- Pada awal 70an, kawasan itu adalah projek tanah rancangan khas untuk golongan muda yang bekerja sebagai peneroka.

- Perkenalan rapat antara lelaki dan wanita di situ membawa kepada majlis perkahwinan besar-besaran melibatkan 24 pasangan pada 1977.

- Peristiwa itu mendorong Menteri Besar Johor ketika itu, Tan Sri Othman Saat, menamakan tempat tersebut sebagai Desa Temu Jodoh.

8. Felda New Zealand

- Juga dikenali sebagai Kampung New Zealand, ia adalah sebuah petempatan Felda yang terletak di Maran, Pahang.

- Tanah rancangan itu dinamakan bersempena negara New Zealand.

- Perkampungan tersebut mendapat sumbangan dari kerajaan New Zealand.

- Juruukur yang terlibat dalam pelan pembukaan kampung itu turut berasal dari New Zealand.

Artikel Lain

Bapa Amir Raja Lawak meninggal dunia