HAMPIR 99 peratus rakyat Malaysia didakwa menjadi mangsa penipuan ketika mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan penyaman udara (aircond).
Kebanyakan pelanggan tertipu kerana mereka sendiri yang meminta juruteknik menambah atau 'top-up' gas kerana menganggap ia sudah berkurang.
Sedangkan secara asasnya gas penyaman udara tidak pernah berkurangan jika sistem berada dalam keadaan baik.
Perkara itu didedahkan seorang lelaki di Threads, yang juga menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan 'aircond'.
“Jika gas dalam penghawa dingin kurang, itu bermaksud terdapat kebocoran pada paip tembaga (copper piping). Bukan kerana penggunaan harian,” kongsinya.
Dia menambah, sikap pelanggan yang kurang pengetahuan atau mudah percaya dengan cadangan 'top-up' gas membuka ruang kepada segelintir tukang servis mengenakan caj tambahan tanpa menyelesaikan punca masalah sebenar.
Kompresor penghawa dingin juga perlu diperiksa bagi mengelak berlaku kerosakan. -Gambar hiasan
Perkara yang perlu anda tahu mengenai penyelenggaraan penyaman udara
1. Gas tak perlu diisi semula secara berkala
- Gas 'aircond' adalah dalam sistem tertutup.
- Jika ia berkurangan, pasti ada kebocoran.
2. Pembersihan berkala
- Perkara penting adalah cuci penapis (filter) setiap dua atau empat minggu sekali.
- Lakukan servis ‘chemical wash’ setahun sekali bergantung pada penggunaan.
3. Tanda gas bocor
- Udara tidak sejuk, keluar bunyi pelik, atau terdapat kesan ais pada paip.
4. Kos sebenar
- Caj servis asas melibatkan pembersihan unit dalaman dan luaran.
- Caj tambahan seperti ganti 'spare part' atau baiki kebocoran perlu diterangkan dengan jelas kepada pelanggan.
5. Minta laporan kerja
- Selepas servis, pelanggan berhak dapatkan maklumat kerja yang dilakukan.
- Contohnya, pembersihan kipas, cuci 'coil', pemeriksaan tekanan gas.
6. Pilih syarikat berdaftar
- Elakkan pihak tidak bertauliah yang gemar mencadangkan ‘top-up gas’ setiap kali servis.