SEORANG wanita berkongsi pengalaman menyaksikan sendiri situasi cemas kemalangan jalan raya membabitkan seorang penunggang motosikal dengan sebuah kereta.
Walaupun mangsa masih sedar dan mampu bercakap, dia meminta air kepada orang ramai kerana berasa sangat dahaga.
Menurutnya, orang ramai yang berada di tempat kejadian bagaimanapun tidak memberikannya air.
"Tak berapa lama selepas tu mak budak tu sampai. Dia bawa air mineral nak bagi anak dia minum.
"Tapi ada seorang abang ni pergi kat makcik tu dan larang... tak boleh bagi air kat dia, bahaya makcik," kongsinya.
Menanti hingga ambulans tiba adalah langkah terbaik dalam menguruskan mangsa kemalangan. -Gambar hiasan
Katanya, ibu mangsa kemudiannya mempersoalkan larangan itu kerana simpati dengan keadaan anaknya yang kehausan.
"Abang tu jawab kalau dia minum risau air tu sangkut kat paru-paru dia tak lepas nak telan. Nanti dia boleh meninggal. Dia dah sakit sebab accident.
"Kalau berlaku kecederaan dalaman, minum air boleh memburukkan keadaan. Kalau sampai perlu pembedahan kecemasan, risiko muntah masa bius pun tinggi," katanya.
Walaupun ibu mangsa kelihatan serba salah, orang ramai tetap menasihatinya supaya menunggu ambulans.
Tambah wanita itu, kejadian berkenaan telah mengajarnya bahawa terdapat beberapa perkara yang tidak boleh dilakukan kepada mangsa kemalangan.
1. Jangan beri mangsa makan atau minum
- Air atau makanan boleh masuk ke paru-paru, mencetus komplikasi, atau menyebabkan mangsa muntah ketika pembedahan.
2. Jangan biarkan mangsa terlelap
- Sukar kesan kecederaan otak jika mangsa tertidur.
3. Jangan alihkan mangsa sewenang-wenangnya
- Jika ada kecederaan tulang belakang, pergerakan boleh menyebabkan lumpuh.
4. Jangan urut atau tekan bahagian cedera
- Boleh memburukkan pendarahan dalaman.
5. Jangan cabut topi keledar penunggang
- Kecuali topi keledar memang sudah tercabut, biarkan paramedik yang uruskan.
Selepas kemalangan, langkah terbaik dilakukan ialah tenangkan mangsa, kekal berbual supaya dia tidak pengsan, dan tunggu paramedik tiba.
Jika mangsa terlalu dahaga, cukup sekadar membasahkan bibir dengan air bukan minum.