BELUM lagi reda kes pelajar perempuan berusia 15 tahun yang menjadi mangsa rogol dua pelajar tingkatan lima, negara dikejutkan pula dengan kes bunuh membabitkan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, pagi Selasa.
Insiden tragis ini menambah lagi jumlah dalam senarai kes jenayah menyayat hati yang berlaku di institusi pendidikan, tempat yang sepatutnya menjadi kawasan selamat dan membina masa depan generasi muda.
Kejadian seperti ini bukan sahaja meruntun emosi masyarakat, malah menimbulkan persoalan besar terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan pelajar di sekolah.
Berikut mStar kongsikan antara kes menyayat hati yang menjadi tumpuan negara, sepanjang tahun ini:

Kematian Zara Qairina yang mencetuskan gelombang #JusticeForZara.
1. Kes Zara Qairina
Zara Qairina Mahathir, seorang pelajar tingkatan satu di SMKA Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai 2025 dan ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran longkang.
Dia dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, tetapi disahkan meninggal dunia keesokan harinya kerana mengalami kecederaan otak traumatik teruk akibat terjatuh dari tempat tinggi
Kes ini dengan pantas menjadi tular melalui kempen #JusticeForZara apabila timbul dakwaan bahawa kematiannya berkait dengan kegiatan buli dalam sekolah.
Kuburnya digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan dan ketika ini, inkues dijalankan bagi menentukan punca kematiannya.
2. Kematian murid darjah 4 di Senawang
Mangsa yang merupakan pelajar sebuah sekolah rendah di Senawang, Negeri Sembilan, ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas lelaki sebelum dibawa ke pusat perubatan oleh guru disiplin, pada 1 Oktober lali.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor semasa menerima rawatan. Laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas jenazahnya mendedahkan kematian berpunca daripada kesan tekanan pada leher.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata kematian murid itu disiasat di bawah undang-undang anti-buli mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan.

Orang ramai mengerumuni lubang kumbahan, lokasi Abdul Fattah Khairol Rizal, 9, dilaporkan terjatuh.
3. Terjatuh lubang kumbahan
Tidak mempunyai kaitan dengan jenayah atau buli, namun kematian Abdul Fattah Khairol Rizal, 9, benar-benar meruntun hati ramai.
Pada pagi 27 September lalu iaitu ketika berlangsungnya program sukan di sekolahnya di Lenggeng, Negeri Sembilan, mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam lubang saluran kumbahan yang tertutup tidak sempurna.
Orang ramai bertungkus-lumus cuba mengeluarkan mangsa namun nyawanya tidak dapat diselamatkan.
Sembilan individu termasuk guru, pelajar serta pihak yang bertanggungjawab terhadap infrastruktur sekolah dan sistem perparitan sudah dipanggil memberi keterangan.
4. Mangsa rogol senior
Mangsa merupakan pelajar perempuan tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka. Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.50 petang, 2 Oktober lalu dalam sebuah kelas, ketika mangsa kembali untuk mengambil barang projek mata pelajaran Sains.
Empat suspek yang terlibat adalah pelajar tingkatan lima, dengan dua dipercayai merogol mangsa, manakala dua lagi berada di lokasi kejadian dan salah seorang daripadanya merakam insiden tersebut menggunakan telefon bimbit.
Kes kini dalam siasatan pihak polis, dan keempat-empat suspek yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah dibuang sekolah.
5. Dicabul pengawal keselamatan, teman lelaki
Seorang murid perempuan berusia sembilan tahun di sekolah rendah di Rembau menjadi mangsa cabul oleh pengawal keselamatan wanita dan teman lelakinya, dalam kejadian pada 7 Oktober lalu.
Ketika kejadian, mangsa ke tandas untuk membuang air.
Kedua-dua suspek masing-masing berusia 22 dan 25 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada 14 Oktober (hari ini) namun mengaku tidak bersalah.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, kedua tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi tujuan seksual terhadap kanak-kanak berusia sembilan tahun itu.
Suspek kes tikam (kiri) di SMK Bandar Utama 4, Petaling Jaya, pada Selasa.
6. Kes tikam di SMK Bandar Utama
Seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama 4, Petaling Jaya meninggal dunia selepas dipercayai ditikam oleh seorang pelajar lelaki pada Selasa.
Kejadian berlaku sekitar pukul 9.30 pagi di mana suspek, seorang pelajar tingkatan dua, dipercayai menyerang dan menikam mangsa ketika waktu persekolahan menggunakan pisau yang dibawanya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang tanda menunjukkan unsur buli dalam insiden tragis itu.
Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat motif sebenar kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


