suria

Perabot rotan, 'stroller' bayi antara 6 barang anda patut elak beli di kedai bundle

Orang ramai perlu meneliti dan berfikir panjang sebelum buat keputusan beli barang terpakai. -Gambar hiasan AI

TREND membeli barangan terpakai atau 'thrifting' semakin mendapat perhatian ramai kerana menawarkan pelbagai pilihan menarik pada harga yang lebih berpatutan.

Juga disebut sebagai barangan bundle, ia tidak terhad kepada pakaian atau aksesori semata-mata, namun turut merangkumi perabot, gajet, barangan rumah dan macam-macam lagi. 

Di sebalik keghairahan 'menyelam' barangan bundle, pembeli juga harus berwaspada dalam membuat pembelian.

Berikut dikongsikan enam jenis barangan terpakai yang tidak sepatutnya dibeli:

1. Patung

Walaupun kelihatan comel, orang ramai tidak digalakkan membeli patung-patung terpakai, khususnya yang jenis berbulu dan diperbuat daripada fabrik.

Patung-patung terpakai yang dibiarkan dalam tempoh lama bukan sahaja kotor, malah memerangkap banyak debu serta habuk yang boleh menjejaskan kesihatan kanak-kanak.

2. Katil bayi

Menurut HealthyChildren.org, berpuluh juta katil bayi telah ditarik balik sepanjang sedekad lalu.

Kebanyakan katil-katil yang tidak dipakai ini kemudian dijual pada harga murah di kedai barangan terpakai. 

Ibu bapa digalakkan membeli katil bayi baharu yang memenuhi piawaian terkini bagi memastikan keselamatan anak semasa tidur.

Patung terpakai yang comel belum tentu selamat untuk dipeluk si cilik. -Gambar hiasan AI

3. Peralatan dapur

Menurut Reader's Digest, loyang, periuk, kuali dan peralatan dapur lain yang tercalar, berkarat atau sudah haus mungkin tidak selamat untuk digunakan.

Bagi perkakas dapur vintaj, adalah lebih selamat jika hanya digunakan sebagai hiasan dan bukannya untuk menyediakan makanan.

4. Kereta sorong bayi (stroller)

Kereta sorong bayi yang terpakai juga tidak digalakkan untuk dibeli.

Walaupun kelihatan masih berada dalam keadaan baik, ibu bapa digalakkan membeli kereta sorong baharu bagi mengelakkan sebarang isu keselamatan.

5. Barangan elektronik 

Pembesar suara vintaj, lampu antik, dan televisyen lama mungkin kelihatan menarik, tetapi barangan elektronik terpakai berisiko mempunyai pendawaian yang rosak.

Ia juga boleh menyebabkan kebakaran atau kejutan elektrik.

6. Perabot rotan

Fikir dua kali sebelum membeli kerusi anyaman atau perabot rotan yang sudah lusuh apabila berkunjung ke kedai barangan terpakai. 

Barangan-barangan ini biasanya agak mahal untuk dibaiki semula.

Malah, kerosakannya juga mungkin boleh menyebabkan kecederaan.

 

Artikel Lain