suria

'Power bank' meletup, wanita syukur mampu fikir apa perlu buat walau panik... Nasihat pengguna hati-hati masa mengecas

'Power bank' milik seorang wanita terbakar ketika ia dicas.

SEORANG wanita meraih perhatian ramai selepas berkongsi kisah letupan 'power bank' yang berlaku di kediamannya.

Menurut Nurul Najihah, peranti elektronik itu meletup selepas ia dicas di atas karpet dalam bilik tidur utama.

"Pukul 2 petang, saya tengok bateri 'power bank' 70 peratus, saya pun sambung cas nak bagi cukup 100 peratus. 

"Power bank diletakkan atas karpet putih. Dalam pukul 2.15 petang, saya dengar letupan macam bom. Lepas tu keluar api warna oren kemerahan. 

"Di sebelah saya saja tempat 'power bank' itu dicas, jadi lengan saya pun terkena api juga, melecur sikit," tulisnya di Facebook.

Mangsa turut melecur pada lengan akibat kejadian itu.

Menurut peniaga dalam talian itu, dia segera mengambil sehelai kain basah serta sebaldi air bagi memadamkan kebakaran.

Dalam situasi cemas itu, dia berkata ruangan bilik itu turut dipenuhi kepulan asap hitam, namun bersyukur api berjaya dipadamkan.

"Alhamdulillah, api berjaya dipadamkan. Saya mampu berfikir dalam keadaan panik. Kalau orang lain, tak tahu macam mana. Lepas tu saya tutup semua suis dan 'plug' menggunakan kain yang kering. 

"Power bank ni agak mahal juga, dalam harga RM70 ke RM100. Guna dari 2022 atau 2023. Mungkin meletup sebab dah lama guna, mungkin cuaca panas, mungkin sebab atas karpet, mungkin sebab terlebih cas.

"Pengajarannya, hati-hati nak cas 'power bank' atau telefon. Tolong jangan salahkan jenama 'power bank'. Saya sampai hari ni trauma," kongsinya lagi.

Artikel Lain