suria

Buka laluan baharu, masa untuk Asia seimbangkan pertumbuhan ekonomi dan aspirasi hijau

Sidang Kemuncak ESG Asia 2025 bertemakan ‘Future-Ready Asia: Driving Sustainable Impact’ menjadi pemangkin kepada pembentukan masa depan lestari rantau ini.

ASIA perlu mencapai keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan aspirasi hijau dengan menuju pertumbuhan yang inklusif dan berkekalan, di mana kelestarian bukan sekadar destinasi tetapi juga tanda kemajuan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Chang Lih Kang berkata agenda kelestarian global kini bergerak pantas apabila piawaian alam sekitar semakin ketat.

“Laporan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kini menjadi keperluan mandatori, dan pelabur menuntut lebih ketelusan serta akauntabiliti.

“Walaupun trend ini meningkatkan piawaian untuk semua organisasi, ia juga membuka peluang besar kepada Asia.

“Dengan menjadikan kelestarian sebagai teras utama strategi perniagaan, kita boleh membuka laluan baharu ke arah ekonomi hijau.

"Untuk mencapai matlamat sifar bersih sambil mengekalkan daya saing ekonomi, kita mesti bertindak secara strategik, inklusif dan berpaksikan realiti tempatan,” katanya.

Dia berkata demikian semasa ucaptama di Sidang Kemuncak ESG Asia 2025 bertemakan Navigating the Path to Net-Zero: Overcoming Resource Limitations and Rising Environmental Standards in Asia to Balance Global Sustainability Targets with Local Economic Realities.

Bagi mencapai matlamat itu, Chang menegaskan sasaran global perlu disesuaikan dengan konteks tempatan, diikuti dengan memperkasa sains, teknologi dan inovasi (STI) untuk membuka peluang dalam tenaga boleh diperbaharui, bahan hijau dan inovasi digital.

Selain itu, dia berkata kerjasama awam-swasta perlu diperkukuh melalui dasar dan hala tuju kerajaan serta kecekapan dan kreativiti sektor swasta.

Dia menambah kementeriannya terus bekerjasama dengan pelabur, institusi penyelidikan dan syarikat di seluruh ASEAN bagi melaksanakan penyelesaian mampan.

(From left) Singapore Deputy High Commissioner Shivakumar Nair, Star Media Group (SMG) chief content officer Datin Paduka Esther Ng, SMG chairman Tan Sri Wong Foon Meng, Science, Technology and Innovation Minister Chang Li Kang, SMG group chief executive officer Chan Seng Fatt, SMG chief operating officer Lydia Wang, Sweden's Ambassador to Malaysia Niklas Wiberg and Sime Darby Property Bhd sustainability General manager Dr Yasmin Rasyid.— SIA HONG KIAU/The StarReporter: Fazleena(This is one of the two pic for News)

(Dari kiri) Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Shivakumar Nair; Ketua Pegawai Kandungan Kumpulan Star Media Group (SMG), Datin Paduka Esther Ng; Pengerusi SMG, Tan Sri Wong Foon Meng; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMG, Chan Seng Fatt; Ketua Pegawai Operasi SMG, Lydia Wang; Duta Sweden ke Malaysia, Niklas Wiberg; dan Pengurus Besar Kelestarian Sime Darby Property Bhd, Dr Yasmin Rasyid.

Chang turut menegaskan peralihan ke arah ekonomi hijau mesti adil dan inklusif agar kelestarian dapat memberi manfaat kepada usahawan luar bandar dan golongan profesional mahir.

“Tiada rakyat Malaysia yang harus tertinggal dalam usaha membina ekonomi hijau berasaskan pengetahuan. Malaysia juga kekal sehaluan dengan agenda bersama ASEAN dalam memajukan kelestarian dan inovasi di rantau ini.

“Melalui platform seperti Sidang Kemuncak ESG Asia, kita bertukar pengalaman, mempercepatkan inisiatif serantau serta memperkukuh kerjasama dalam tenaga bersih, ketahanan iklim dan sistem ekonomi kitaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Media Group (SMG), Chan Seng Fatt berkata penganjuran Sidang Kemuncak ESG Asia pertama mencerminkan kepercayaan terhadap syarikat itu untuk menerajui inisiatif serantau ini serta memacu dialog dan kerjasama bermakna mengenai kelestarian.

“Bagi kami, ia bukan sekadar menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin korporat dan penggerak perubahan di bawah satu bumbung, ia tentang membina ekosistem yang memupuk kerjasama, inovasi dan impak jangka panjang.

“Sidang kemuncak ini juga selaras dengan tema Sidang Kemuncak ASEAN 2025 iaitu ‘Inklusiviti dan Kelestarian’, yang seiring dengan prinsip dan agenda ESG kami.

“Jadi, ini adalah masa yang tepat untuk kami berinteraksi dengan pemimpin industri bagi memperkukuh pelaksanaan serta tindakan seterusnya,” katanya.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan Sime Darby Property, Datuk Lai Shu Wei pula berkata kelestarian bukan agenda sampingan, sebaliknya menjadi tunjang dalam cara mereka merancang, membuat keputusan dan beroperasi.

“Sebagai pemaju, peranan kami ialah membentuk komuniti berdaya tahan yang hidup seiring dengan alam semula jadi sambil memajukan kesejahteraan sosial dan ekonomi. Penyertaan kami dalam inisiatif Asia ESG Positive Impact Consortium (A-EPIC) seperti Sidang Kemuncak ESG Asia mencerminkan komitmen ini.

“Ia mewujudkan platform untuk bertukar idea dan mempercepatkan pelaksanaan ESG secara praktikal di pelbagai industri. Dipandu oleh ‘Purpose to be a Value Multiplier’ untuk manusia, perniagaan, ekonomi dan planet, kami memberi tumpuan kepada tindakan yang boleh diukur dan dipertanggungjawabkan,” katanya.

Mengenai peranan media dalam menerajui perbincangan ESG di Indonesia dan rantau ini, Naib Presiden Kelestarian KG Media, Wisnu Nugroho berkata kelestarian bukan agenda abstrak, tetapi realiti kehidupan harian.

“Kampung di pesisir berdepan kenaikan paras laut, petani berhadapan musim yang tidak menentu, bandar pula bernafas dalam udara tercemar. Media besar seperti KG Media memiliki kepercayaan, capaian dan pengaruh yang kuat.

“Itu menjadikan kami bertanggungjawab untuk menterjemah ESG daripada jargon kepada budaya, berakar dalam semangat gotong-royong, nilai budaya dan tanggungjawab antara generasi, sambil menggunakan kewartawanan data untuk mendedahkan penipuan hijau (greenwashing) dan menonjolkan penyelesaian sebenar,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi Philippine Daily Inquirer, Rudyard Arbolado pula berkata legasi mereka “Balanced News, Fearless Views” kini diterjemahkan ke dalam ruang ESG.

“Ia direalisasikan melalui laporan berasaskan data yang teliti. Kami melangkaui naratif permukaan dengan menilai cabaran sebenar serta pencapaian konkrit dalam usaha kelestarian korporat, sambil memastikan institusi terus dipertanggungjawabkan terhadap ketelusan serta impak sosial dan alam sekitar,” katanya.

Antara acara utama pada Rabu ialah sesi panel “Leadership Dialogue (Navigating the Trans-Border Economic Climate Collaboration: Lessons from Asia’s Leaders)” yang menampilkan Duta Filipina ke Malaysia Maria Angela A. Ponce, Penasihat Iklim Serantau Suruhanjaya Tinggi Australia Ashley Brosnan dan Pengarah Eksekutif United Nations Global Compact Network Malaysia & Brunei Faroze Nadar.

Sesi itu dikendalikan oleh pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Stellar SparX International merangkap Naib Pengerusi Malaysia New Zealand Chamber of Commerce, Esther Yap.

Pada acara itu, Pengurus Besar Kelestarian Sime Darby Property, Dr Yasmin Rasyid menyampaikan ceramah bertajuk “Fostering Resilient Communities: The Sime Darby Property Approach.”

Sidang Kemuncak ESG Asia 2025 bertemakan “Future-Ready Asia: Driving Sustainable Impact” membuka ruang kepada peserta untuk berinteraksi dengan pemimpin dan pembuat keputusan yang membentuk masa depan lestari rantau ini.

Anjuran SMG dengan Sime Darby Property sebagai Rakan Biodiversiti Bandar, acara ini berlangsung dari 5 hingga 7 November di Sunway Resort Hotel.

Ia juga merupakan sidang kemuncak pertama A-EPIC, usaha bersama yang diterajui oleh SMG, KG Media dan Inquirer Group of Companies yang mencerminkan komitmen bersama pemimpin media untuk memperjuangkan kemajuan lestari di seluruh rantau ini.

Turut hadir dalam acara itu ialah Pengerusi SMG Tan Sri Wong Foon Meng, Ketua Pegawai Operasi Lydia Wang, Ketua Pegawai Kandungan Datin Paduka Esther Ng, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Singapura Shivakumar Nair dan Duta Sweden Lars Niklas Wiberg.

Artikel Lain