SUASANA sunyi malam di sebatang jalan di sebuah kampung di Taiping, Perak bertukar kecoh apabila seorang lelaki nyaris maut selepas terbabas ke dalam sungai.
Menurut Irsyad (bukan nama sebenar), dia hilang kawalan sebelum terbabas gara-gara terkejut dengan kelibat satu entiti seperti pocong.
Kejadian dikatakan berlaku sekitar pukul dua pagi ketika lelaki berusia 30an itu memandu sendirian pulang dari rumah rakannya di kawasan berhampiran.
Kata Irsyad, keadaan jalan yang dilaluinya itu sangat gelap dan hanya diterangi dengan cahaya bulan mengambang ketika itu.
Tiba-tiba muncul satu entiti bergolek dari bahu jalan kiri ke kanan sebelum hilang sekelip mata.
"Allahuakbar!," jerit pemuda itu terkejut dan gelabah dengan apa yang dilihatnya.
Gara-gara tidak sempat berfikir panjang melainkan cuba mengelak objek misteri itu, keretanya terbabas dan terjunam ke sungai berdekatan.
Suasana gelap boleh menyebabkan pandangan pemandu terjejas. -Gambar hiasan AI
Irsyad bagaimanapun sempat keluar dari kenderaan dan menyelamatkan diri sebelum kereta tenggelam sepenuhnya.
Penduduk kampung yang menyedari kejadian terus bertindak menghubungi pihak bomba bagi membantu menyelamatkannya.
Lebih mengerikan, orang ramai yang sudah lama bermastautin di situ mendakwa kawasan tersebut sememangnya 'keras'.
Ia kerana sudah kerap berlaku kemalangan yang berpunca daripada kejadian aneh dan misteri membabitkan pengguna di laluan berkenaan.
Ada juga yang mendakwa pernah melihat kelibat entiti berpakaian putih berlegar-legar di kawasan yang sama terutama menjelang waktu tengah malam.
Bagi Irsyad sendiri dia seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya walaupun kisah pocong bergolek melintas jalan sudah lama menjadi bualan penduduk.
Bagaimanapun Irsyad yang bakal mendirikan rumah tangga kira-kira dua bulan sebelum insiden kemalangan itu bersyukur kerana dia masih diberikan peluang untuk hidup.