HASRAT seorang wanita untuk menambah pendapatan keluarga dengan menjadi pengasuh akhirnya makan diri sendiri.
Menurut wanita itu yang ingin dikenali sebagai Aida, kehidupannya berubah selepas dia menerima tawaran untuk menjaga anak kepada rakannya yang berusia tiga tahun.
Kebetulan pada masa itu, dia baru sahaja berhenti kerja kerana ingin memberi fokus pada rumah tangga dan membesarkan anak perempuan berusia setahun.
Berkongsi cerita, ujar wanita berusia awal 30-an ini, dia mula mengalami gangguan misteri selepas kira-kira lima bulan menjaga anak rakannya.
Sihir sering dijadikan 'alat pemusnah' untuk menjatuhkan seseorang
"Pada mulanya saya fikir mungkin penat. Tapi lama-kelamaan badan rasa berat, kepala kerap pening dan sebelah malam pula sering dihantui mimpi seram.
"Paling merunsingkan rumah yang saya duduki terasa ‘gerun’ seperti ada sesuatu sedang memerhati walhal telah hampir lima tahun mendiaminya.
"Anak perempuan yang dahulunya ceria dengan pelbagai keletah menjadi kuat meragam terutama selepas Asar," luahnya yang sering memasang zikir dan ayat suci al-Quran di rumah.
Menurut Aida, anak asuhan yang dipanggil Aryan pula sering meragam dan menjerit secara tiba-tiba sebelum berlari menerpanya dalam keadaan ketakutan.
ARTIKEL BERKAITAN: Paha lebam-lebam, wanita mimpi makan daging lepas jaga anak asuhan… Rupanya si kecil ada ‘pendamping’ ikut dari rumah sewa!
Malah dakwa wanita ini, Aryan juga sering mengalami demam panas untuk tempoh yang lama sehingga dia berasa bimbang.
Dia yang pada awalnya enggan mengambil pusing dengan apa yang berlaku, mula mengambil langkah berjaga-jaga termasuk cuba mendapatkan rawatan perubatan Islam.
Tambahan pula, dia dan suami mula mengalami penyakit misteri termasuk gatal-gatal pada jari tangan dan kaki.
Malah suaminya tiba-tiba mengalami bisul besar di belakang pelipat lutut yang menyukarkannya untuk berjalan mahupun duduk.
Keluarga bahagia adalah impian setiap individu. -Gambar hiasan
"Semasa proses rawatan, saya tak sedar tapi adik-adik cakap yang saya sebut nama anak asuhan semasa ditanya tentang 'pelaku'.
"Banyak kali juga saya dapatkan rawatan dan akhirnya perawat cakap yang saya terkena tempias sihir orang yang tak suka pada keluarga anak asuhan.
"Mungkin mereka marah sebab saya jaga anak dia... ibu Aryan pun cakap yang dia sekeluarga terkena sihir pemisah," ujar Aida sambil berharap keluarganya dilindungi daripada musibah.
Menurut wanita ini lagi, dengan ikhtiar doa, bacaan ayat pendinding serta rawatan berterusan, keadaannya sekeluarga beransur pulih walaupun masih berhati-hati dalam urusan seharian.
Malah dia masih menjaga anak asuhannya sehingga kini meskipun dinasihati keluarga dan rakan-rakan agar berhenti.