LANGIT seolah-olah mengerti kesedihan Adam (bukan nama sebenar) selepas jenazah bapanya dikebumikan pada petang itu.
Ketika Maghrib hampir menjelma, hujan turun dengan lebatnya dan berterusan sehingga ke tengah malam.
Suasana di kampungnya cukup sunyi, hanya kedengaran bunyi titisan air yang jatuh menimpa atap zink menemani malam duka Adam sekeluarga.
Sejak menginjak ke usia remaja, Adam yang juga anak sulung tahu bapanya ada menyimpan saka yang diturunkan daripada moyangnya.
Malam pertama selepas pengebumian, Adam bermimpi bapanya datang dalam keadaan basah kuyup, meminta tolong dengan wajah yang rentung terbakar.
Dalam mimpi itu, bapanya berkata perlahan, “Tolong aku, Adam... jangan biar aku terseksa.”
Adam kemudian terjaga dari tidur dengan jantung berdegup kencang, peluh menitis walaupun malam itu sangat dingin.
Belum sempat dia menarik nafas panjang, terdengar bunyi yang kuat di pintu depan, seperti seseorang sedang menendangnya dari luar.

Pemergian insan tersayang pastinya meninggalkan kesan mendalam. -Gambar hiasan
Dia beranikan diri melangkah ke ruang tamu, namun apabila pintu dibuka, tiada sesiapa berada di luar.
Pagi esoknya, Adam terpaku apabila melihat kesan jejak tapak kaki berlumpur di atas tanah di hadapan rumahnya.
Jejak itu panjang dan besar, persis saiz kaki arwah bapanya dan langkahnya berakhir tepat di depan pintu rumah.
Sejak hari itu, malam-malam Adam dipenuhi mimpi yang sama, di mana bapanya datang merayu sambil menangis dalam gelap.
ARTIKEL BERKAITAN:Pinjam pinggan mangkuk bunian, wanita jadi ‘tak betul’ lepas kenduri - “Bila dipulangkan, tak cukup jumlahnya”
ARTIKEL BERKAITAN: Mahasiswi tiba-tiba menjerit, merangkak macam haiwan ketika mendaki... Ustaz hanya angguk lepas tahu cerita sebenar
Selain Adam, ibu dan adik-adiknya juga mengadu berdepan pelbagai gangguan di rumah mereka.
Adam mula yakin, saka yang dipelihara bapanya sedang mencari pewaris dan dialah yang sepatutnya menerima 'belaan' itu.
Selepas mengadu kepada saudaranya, Adam akhirnya meminta bantuan seorang ustaz untuk datang ke rumah mereka.
Ustaz itu membaca ayat-ayat ruqyah sepanjang malam, dan rumah mereka bergegar seketika seperti ada sesuatu sedang memberontak keluar.
Setelah semuanya selesai, suasana menjadi tenang, malah mimpi-mimpi ngeri Adam juga hilang dalam malam-malam seterusnya.
Akhirnya, keluarganya Adam kembali hidup seperti biasa.
Dia juga lega kerana percaya arwah bapa akhirnya benar-benar 'pergi' selepas saka belaannya sudah dibuang oleh perawat berkenaan.


