BAGI anak muda yang melanjutkan pelajaran di negeri-negeri Pantai Timur, mereka boleh merasai sendiri keindahan alam semula jadi yang menenangkan.
Pada suatu pagi, lima sahabat dari sebuah universiti sepakat untuk mendaki sebuah bukit terkenal bagi mengisi masa lapang hujung minggu.
Aktiviti itu disertai tiga lelaki dan dua wanita, salah seorangnya bernama Ayuni yang dikenali dengan sikap galak dan bermulut celupar.
Sejurus pendakian dimulakan seawal pukul 5.30 pagi, mereka terserempak dengan seorang wanita jelita yang sedang menuruni bukit seorang diri.
Ketika ditegur dan diberi salam, wanita itu hanya tersenyum sambil menundukkan kepala sebelum dia berlalu pergi.
Walaupun cuba berfikir positif, mereka hairan bagaimana seorang wanita boleh mendaki bukit sendirian pada waktu awal pagi.
Tidak lama selepas pertemuan misteri itu, Ayuni tiba-tiba menjerit sebelum dia merebahkan badan dan mula merangkak seperti binatang di atas tanah.

Pendaki perlu menjaga tingkah laku dan tutur kata ketika berada di dalam hutan. -Gambar hiasan
Dalam suasana ketakutan, salah seorang rakan mereka iaitu Fadhli melaungkan azan untuk menenangkan keadaan.
Empat sahabat itu bergelut menenangkan Ayuni yang menjerit histeria dan mereka juga tidak henti-henti membaca ayat suci al-Quran.
Dengan penuh susah payah, mereka memegang Ayuni dan membawanya menuruni bukit.
Setibanya di kaki bukit, mereka melihat beberapa individu baru tiba untuk memulakan pendakian.
Kebetulan, seorang ustaz juga baru tiba di lokasi itu, lalu dia mendekati kumpulan pelajar berkenaan yang kelihatan cemas.
ARTIKEL BERKAITAN: “Itu tangkal... ada khadamnya, jin!” - Pemuda beli dompet ‘bundle’ jumpa lipatan kain kuning bertulisan jawi, ramai suruh hapuskan
ARTIKEL BERKAITAN: Jangan patah balik ambil botol air tertinggal, elak terkena sihir... Dalam pejabat sendiri pun kena hati-hati!
Selepas lebih 20 minit dibacakan ayat suci, Ayuni mula sedar dan boleh berbicara seperti biasa.
Ketika ditanya ustaz, Ayuni berkata dia tidak ingat apa yang berlaku selepas mereka terserempak dengan seorang wanita misteri.
Namun sebelum itu, Ayuni berkata dia sempat berkata-kata buruk di dalam hati kerana hairan dengan kehadiran wanita berkenaan.
Ketika diminta menjelaskan maksudnya, Ayuni berkata dia berprasangka jahat yang wanita itu mungkin bersendirian kerana dia mendaki bukit dan masuk hutan untuk berzina.
Ustaz itu mengangguk perlahan selepas mendengar cerita Ayuni dan menasihati mereka untuk segera pulang ke asrama di kampus.
Ustaz turut menitipkan pesan agar mereka menjaga lidah, kelakuan dan hati apabila mendaki bukit pada masa akan datang.
“Kamu bernasib baik kerana ada kawan-kawan yang boleh azan dan pandai mengaji. Wanita itu mungkin bukan orang biasa. Ada kemungkinan dia 'penunggu' bukit tu,” jelas ustaz.
Semua sahabat itu terdiam, mereka tidak menyangka pertemuan ringkas dengan seorang wanita boleh membawa pengalaman menakutkan.
Pengalaman itu menjadi peringatan yang bukit-bukit terkenal juga mempunyai rahsia sendiri dan tidak semua yang dilihat di sana adalah manusia biasa.


