DI sebalik keindahan sebuah pulau popular di Pantai Timur, tersembunyi satu kisah misteri yang menyebabkan tiga sahabat ini serik untuk kembali ke sana.
Anis, Fida dan Qila merupakan rakan sekerja di sebuah syarikat perbankan di ibu negara.
Sekitar awal April lalu, mereka bercuti di sebuah pulau dengan menempah bilik di resort dengan pemandangan indah berhampiran pantai.
Malam pertama di sana terasa begitu tenang, hanya bunyi serangga dan desir angin yang menemani mereka sebelum tidur.
Ketiga-tiganya tidur dalam satu bilik dengan katil bersebelahan, sambil berbual dan ketawa kecil sebelum akhirnya terlelap.
Sekitar pukul tiga pagi, Anis terjaga apabila dia mendengar bunyi pelik seperti seretan tapak kaki di luar tingkap.
Dalam keadaan separuh sedar, dia berpaling ke arah katil sebelah dan terkejut apabila menyedari Qila tiada di situ.
“Weh bangun, mana Qila? Qila tak ada," ujar Anis cemas sambil menggoncang bahu Fida.
Fida terjaga dengan wajah panik, lalu mereka berdua menyalakan lampu dan memanggil nama Qila berulang kali, namun tiada jawapan.

Keindahan panorama dari bilik resort yang terletak dekat dengan pantai. -Gambar hiasan AI
Rasa takut semakin menebal, mereka segera berlari ke lobi untuk mencari pekerja resort, namun tempat itu sunyi sepi tanpa seorang pun kelihatan.
Tidak tahu apa perlu dilakukan, mereka berdua kembali ke bilik dengan jantung berdegup kencang dan cuba menghubungi Qila berkali-kali.
Ketika berulang kali cuba menghubungi nombor telefon Qila, mereka mula mendengar bunyi cakaran halus di dinding, disusuli suara wanita mengilai.
Suara itu kedengaran samar tetapi cukup jelas untuk membuat bulu roma mereka tegak berdiri.
Mereka saling berpelukan sambil menangis, beristighfar dan membaca ayat-ayat al-Quran dengan suara yang bergetar.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Bergayut' hampir sejam, pemuda terkedu dapat tahu sahabat dah 3 hari jadi arwah
ARTIKEL BERKAITAN: Pintu ditendang, kesan tapak kaki depan rumah... Anak syak arwah ayah ‘balik’ lepas dikebumi, urusan saka belum selesai
Malam terasa begitu panjang, dan mereka hanya mampu duduk bersama di penjuru katil hingga cahaya matahari mula menembus langsir.
Sekitar pukul tujuh pagi, mereka ternampak beberapa kakitangan resort mula berjalan di luar, lalu segera keluar meminta bantuan.
Dalam keadaan tergesa, mereka bersama beberapa pekerja menuju ke pantai dan terkejut melihat Qila terbaring di kawasan semak dalam keadaan tidur nyenyak.
Setelah dikejutkan, Qila menangis ketakutan kerana tidak tahu bagaimana boleh berada di situ, apatah lagi dia bukan jenis yang berjalan dalam tidur.
Mereka bertiga sepakat untuk tidak meneruskan percutian dan segera mengemas barang untuk menaiki bot pulang pada tengah hari itu.
Sementara menunggu bot tiba, ketiga-tiga sahabat itu ditemani seorang pekerja wanita resort berkenaan.
"Sebenarnya ni bukanlah kejadian pertama, sebelum ni pun pernah berlaku," ujar pekerja itu yang juga penduduk asal pulau berkenaan.
Namun sebelum mereka berangkat menaiki bot, dia sempat memberi pesanan kepada gadis-gadis itu agar tidak menularkan kisah berkenaan di media sosial.


