suria

Jangan seronok sangat beli minyak wangi ‘copy ori’, rupanya ada bahan kimia berbahaya! Undang macam-macam penyakit

Minyak wangi menjadi kemestian bagi setiap individu bagi meningkatkan keyakinan diri. -Gambar hiasan

MINYAK wangi sering menjadi pilihan utama untuk menyerlahkan keyakinan dan daya tarikan diri. 

Namun, tahukah anda terdapat bahan kimia berbahaya dalam minyak wangi yang anda sembur setiap hari?

Memetik laman Facebook Pusat Racun Negara, terdapat lima bahan kimia berbahaya yang terkandung dalam kebanyakan minyak wangi, dengan ada antaranya sering dijadikan bahan utama dalam pembuatan minyak wangi tiruan.

ARTIKEL BERKAITAN: Buat 'syampu' sendiri guna 2 bahan mudah... Masalah uban selesai, rambut lebat dan hitam berkilat

Berikut merupakan lima bahan kimia berbahaya yang boleh membawa risiko kesihatan serius:

1. Phthalate

- Bahan kimia yang biasa digunakan dalam industri minyak wangi sebagai pelarut dan penstabil bau. Ia membantu minyak wangi bertahan lebih lama pada kulit dan pakaian.

- Beberapa jenis phthalate seperti dibutyl phthalate (DBP) dan diethylhexyl phthalate (DEHP) dikenal pasti sebagai pengganggu endokrin, yang boleh mengganggu keseimbangan hormon dalam badan.

- Pendedahan jangka panjang boleh menyebabkan masalah kesuburan, kerosakan hati dan buah pinggang, serta kesan negatif terhadap perkembangan janin, reaksi alahan seperti ruam kulit, sesak nafas, dan migrain pada individu yang sensitif.

Different perfume bottles with reflections on black background with space for text. Perfumery, cosmetics, fragrance collection

Pengguna disaran membaca label dan membeli minyak wangi daripada jenama dipercayai. -Gambar hiasan

2. Paraben

- Bahan pengawet yang digunakan untuk mencegah pertumbuhan bakteria dan kulat dalam produk kecantikan.

- Menyebabkan gangguan hormon yang dikaitkan dengan risiko kanser payudara dan gangguan reproduktif. 

- Beberapa kajian menemui jejak paraben dalam tisu kanser payudara, mencetuskan kebimbangan tentang kaitan antara paraben dan kanser.

3. Benzene

- Sebatian organik yang digunakan sebagai pelarut dalam beberapa minyak wangi murah atau palsu.

-  Karsinogen diketahui dan dikaitkan dengan leukemia serta gangguan darah lain. Pendedahan jangka panjang boleh menyebabkan kerosakan sumsum tulang dan penurunan sistem imun.

4. Formaldehid

- Bahan pengawet dalam minyak wangi murah untuk meningkatkan ketahanan bau.

- Karsinogen dikaitkan dengan kanser hidung dan tekak. Pendedahan boleh menyebabkan iritasi mata, hidung, dan tekak, serta alahan kulit dan serangan asma pada individu sensitif.

5. Metanol

- Sering digunakan dalam minyak wangi palsu sebagai alternatif murah kepada etanol, iaitu alkohol yang lebih selamat dalam kosmetik. 

- Sangat toksik kerana ia akan diuraikan kepada asid formik di dalam badan, yang boleh menyebabkan kerosakan organ, buta, dan juga kematian.

Justeru bagi mengurangkan risiko, pengguna disarankan memilih minyak wangi daripada jenama yang dipercayai dan membaca label sebelum membeli.

Artikel Lain