MASUK sahaja alam pekerjaan, tentunya perkara yang paling diimpikan oleh para lepasan universiti adalah memiliki kereta pertama mereka.
Ketika fasa ini, kebanyakan mereka runsing sama ada mahu memilih kereta idaman atau yang sesuai dengan pendapatan setiap bulan.
Dalam hal ini, lepasan universiti perlu bijak dalam membuat pilihan agar mereka tidak menyesal di kemudian hari gara-gara menanggung beban ansuran bulanan yang tinggi.
Menurut portal penjualan kereta Carlist, Teknik Rule of Thumb boleh diguna bagi membeli kereta mengikut pendapatan tahunan.
Misalnya, mereka yang mempunyai gaji bulanan sebanyak RM2,500 disarankan membeli kenderaan berharga RM30,000 dan ke bawah, barulah dikira sebagai kereta mampu milik.
Namun, andai kata mereka masih belum menemui kereta yang memuaskan dalam lingkungan harga berkenaan, tiada masalah sekiranya mahu berbelanja lebih asalkan ia tidak membebankan.
Bukan hanya kereta baharu, graduan juga boleh mempertimbangkan alternatif lain seperti mencari kereta terpakai dengan harga jauh lebih murah tetapi masih dalam keadaan yang baik.
Selain reka bentuk menarik, ciri keselamatan juga perlu diambil kira.
Berikut adalah pilihan kereta terbaik yang sesuai untuk graduan dengan gaji lingkungan RM2,500:
1. Perodua Axia (RM22,000 - RM49,500)
Bagi mereka yang mencari kenderaan untuk digunakan setiap hari dengan bayaran bulanan murah serendah RM237, Axia merupakan pilihan terbaik berdasarkan saiz dan penjimatan minyaknya.
2. Proton Saga (RM34,800 - RM44,800)
Dengan bulanan serendah RM382, Saga dikategorikan sebagai kereta yang paling berbaloi memandangkan ia mempunyai ruang but yang lebih besar serta boleh mengisi lima orang penumpang dalam satu-satu masa.
3. Perodua Bezza (RM34,580 - RM49,980)
Bayaran bulanan serendah RM367, Bezza turut mempunyai ruang but dan tempat duduk yang selesa dan luas malah kecekapan bahan api yang sangat optimum menjadikan kos pemilikannya lebih rendah berbanding sedan lain.
4. Proton Iris (RM42,800 - RM57,300)
Kereta ini dianggap paling ideal bukan sahaja kerana reka bentuk yang cantik malah ia dilengkapi dengan enjin yang jimat minyak serta system pengendalian yang baik.
5. Perodua Myvi (RM46,500 - RM59,000)
Dalam semua kereta yang disenaraikan, Myvi antara kereta paling versatiL bukan sahaja kerana keseimbangan dan kecekapan yang sempurna tetapi reka bentuknya yang kena dengan jiwa orang muda.