SEORANG lelaki ditahan bagi membantu siasatan selepas isterinya meninggal dunia semasa melahirkan anak di rumah, dalam kejadian pada Ahad lalu.
Menurut laporan media tempatan, mangsa yang dikenali sebagai Asma, 35, meninggal dunia ketika melahirkan anak kelima.
Bagaimanapun, bayi tersebut kini sedang menerima rawatan di hospital.
Lelaki yang dikenali sebagai Sirajuddin, yang juga pengendali saluran YouTube 'Madavoor Qafila', telah ditahan selepas didakwa cuba mengebumikan mayat isterinya secara rahsia di kampung halamannya di Perumbavoor, Ernakulam, Kerala.
Pihak berkuasa kini sedang menyiasat beberapa video yang diterbitkan oleh Sirajuddin di saluran YouTube kendaliannya yang didakwa mengkritik sistem penjagaan perubatan moden semasa proses bersalin.
Kes tersebut turut menarik perhatian Menteri Kesihatan Kerala, Veena George, yang mengutuk penyebaran maklumat salah mengenai kelahiran di rumah melalui media sosial.
Tegasnya, kelahiran yang menggunakan kaedah tidak saintifik adalah satu ancaman besar kepada keselamatan ibu dan anak.
"Tindakan akan diambil mengikut seksyen Akta Kesihatan Awam dan Kanun Keseksaan India bagi memastikan keselamatan ibu dan anak terjaga," katanya lagi. -Agensi