suria

Bekas atlet selamba bela kerbau dalam rumah sewa, akhirnya diusir keluar

Kisah Chen yang memelihara seekor kerbau di dalam rumah sewa menjadi tular di laman sosial. -Foto SCMP

SEORANG bekas atlet tempur mengejutkan warga maya kerana memelihara seekor kerbau di dalam rumah sewanya.

Menurut lelaki yang hanya dikenali sebagai Chen, 30, dia memilih untuk memelihara kerbau yang diberi nama Bull Demon King itu kerana sifatnya yang cintakan haiwan. 

Chen yang berasal dari Foshan, sebuah wilayah di selatan China, turut memelihara seekor anak anjing sebagai 'peneman' kepada kerbaunya.

"Kerbau air tergolong dalam spesis haiwan yang jinak, hanya menguak ketika lapar dan jarang sekali mengganggu ketenteraman kawasan kejiranan," katanya.

Bagaimanapun, Chen tidak menolak wujudnya kekangan membela haiwan ternakan di kawasan bandar.

Antara cabaran terbesar adalah kawasan terbuka dan padang ragut semula jadi sukar didapati.

Menganggap kerbau peliharaannya sebagai peneman dan sumber disiplin kendiri, dia cenderung terinspirasi untuk terus meningkatkan kualiti hidup bagi mengelakkan dirinya menjadi seperti niuma.

Niuma merujuk kepada istilah di China yang menggambarkan keadaan seseorang yang bekerja keras tanpa sebarang pulangan yang lumayan.

Dalam pada itu, Chen mendedahkan dia pernah menyewa di kompleks perumahan tetapi diusir selepas tuan rumahnya mengetahui tentang kerbau itu.

Dia kemudian berpindah ke flat baharu dengan kadar sewaan 400 yuan (sekitar RM245) sebulan.

Pada mulanya, tuan rumah baharu itu juga tidak menyedari kehadiran kerbau Chen, tetapi akhirnya akur selepas melihat video Chen dan kerbaunya tular di internet.

Awal April lalu, Chen pulang ke kampung halamannya dan membina sebuah rumah kayu untuk memelihara dua haiwan kesayangannya itu.  

Kisah Chen meraih perhatian lebih lapan juta tontonan dan  sejumlah 23,000 pengikut di media sosial. -Agensi

 

Artikel Lain

Nas Ahmad meninggal dunia