SEORANG wanita maut di tangan bekas kekasihnya selepas dia ditikam sebanyak 12 kali.
Suspek, Phanudate Butsaksaeng, 29, didakwa 'naik hantu' selepas melihat mangsa, Nattacha Tojeen, 28, bersama dengan seorang lelaki.
Mangsa ditikam di rumah sewanya yang terletak di tingkat lapan sebuah bangunan di Bangkok, Thailand.
Teman lelaki baharu mangsa kemudiannya terus keluar untuk meminta bantuan jiran dan pihak berkuasa.
Pasukan perubatan Hospital Charoenkrung Pracharak cuba menyelamatkan mangsa, namun wanita itu disahkan maut di lokasi kejadian.
Suspek berada di bawah pengaruh alkohol ketika ditahan. -Foto Facebook จึงจริง Jung Jing
Difahamkan, Phanudate dan Nattacha bercinta sejak beberapa tahun lalu dan baru sahaja memulakan kerjaya bersama di sebuah syarikat barang kemas di Silom.
Mereka dikatakan berpisah ketika Festival Songkran berlangsung dan suspek cuba untuk berbaik semula dengannya.
Dalam pada itu, suspek turut dikesan berada di bawah pengaruh alkohol dan masih menggenggam pisau ketika dia ditahan.
Phanudate didakwa di Mahkamah Jenayah Selatan Bangkok atas tuduhan membunuh dengan niat.
Jika didapati bersalah, dia mungkin akan dipenjarakan seumur hidup atau berdepan hukuman mati mandatori. - Agensi