suria

Penduduk mengamuk! Suspek kes bunuh dalam tahanan polis dibakar hidup-hidup

Seorang suspek maut dibakar hidup-hidup oleh penduduk kampung.

SEORANG lelaki yang berada dalam tahanan polis kerana didakwa membunuh, maut dibakar hidup-hidup oleh sekumpulan penduduk.

Dilaporkan, lelaki berkenaan yang merupakan warga asing dipukul oleh sekumpulan penduduk kampung yang menuduhnya menembak mati seorang lelaki.

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah kampung terpencil, Playas del Cuyabeno di Ecuador pada Ahad.

Kampung tersebut hanya boleh diakses melalui bot.

Susulan itu, polis menahan suspek dan menempatkannya di lokap, lapor Diario Extra.

Namun, keselamatannya di sebalik jeriji besi tidak bertahan lama. Kira-kira enam jam kemudian, sekumpulan penduduk kampung datang kembali dan memecah masuk ke balai polis, serta menarik suspek keluar.

Lelaki itu dibakar hidup-hidup di luar bangunan sehingga dia meninggal dunia. Mayatnya kemudian dilihat terbaring di atas tanah, ditutupi dengan kain putih, sementara orang ramai berdiri mengelilinginya.

Menurut laporan Diario Extra, Perkara 171 Perlembagaan Ecuador mengiktiraf bidang kuasa perundangan masyarakat pribumi, namun menetapkan had yang jelas: sebarang keputusan mesti menghormati hak asasi manusia dan tidak boleh bercanggah dengan undang-undang negara.

Perbuatan membunuh atau melaksanakan hukuman tanpa proses undang-undang, termasuk membakar seseorang hidup-hidup walaupun dia disyaki melakukan jenayah, tetap dianggap sebagai jenayah di bawah Kod Organik Jenayah Menyeluruh (COIP).

Kes sebegini boleh disiasat oleh Pejabat Pendakwa Raya sebagai kes pembunuhan atau membunuh dengan niat. -Agensi

Artikel Lain