SEORANG pemandu teksi berusia 47 tahun ditahan polis selepas menikam mati seorang pekerja hotel dalam kejadian tragis yang berlaku pada Selasa.
Mangsa, Suwannee, 61, maut akibat lebih 50 tikaman selepas dipercayai diserang suspek ketika mahu memeriksa dan mengemas bilik yang dihuninya.
Difahamkan, suspek mendaftar masuk ke hotel yang terletak di wilayah Amnat Charoen, Thailand itu pada 19 April.
Polis yang menerima laporan daripada kakitangan hotel bergegas ke lokasi kejadian, namun Suwannee disahkan meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah.
Seorang saksi mendakwa melihat suspek melarikan diri dengan menaiki teksi berwarna hijau kuning.
Suspek bagaimanapun ditahan pada pukul 3 petang hari yang sama di wilayah Sisaket.
Ketika disoal siasat, suspek mendakwa berdendam kerana mangsa pernah menganiaya keluarganya.
Namun dakwaan suspek disangkal oleh ibu bapanya yang memaklumkan bahawa dia menghidap masalah mental.
Suspek kini ditahan reman di Mahkamah Wilayah Amnat Charoen bagi siasatan lanjut. -Agensi