SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas terjatuh ke dalam sebuah perigi lama sedalam kira-kira 20 meter.
Ketika kejadian, mangsa sedang bermain bersama dua rakannya di kawasan sekitar perigi sebelum terjatuh.
Salah seorang rakan mangsa kemudian menjerit meminta tolong dan jeritan itu didengari penduduk yang segera datang untuk membantu menyelamatkan mangsa.
Kejadian berlaku di Pekon Talagening, Kecamatan Kota Agung Barat, Kabupaten Tanggamus, Lampung, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Agung, Iptu Rudi Khisbiantoro berkata, pihaknya segera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan daripada penduduk.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati perigi tersebut terletak di belakang rumah penduduk.
Dengan keadaannya yang hanya menggunakan papan kayu reput, ia tidak mampu menampung berat mangsa ketika bermain di sekelilingnya.
Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebaik tiba di hospital. -Agensi