MAJLIS perkahwinan bertukar kecoh apabila seorang pengantin lelaki cedera dibelasah ahli keluarga mentuanya di hari persandingannya.
Tular di media sosial memaparkan pasangan pengantin ditemani beberapa wanita berpegangan tangan menuju keluar bilik.
Tidak lama kemudian, empat lelaki meluru masuk ke dalam bilik dan memukul mangsa.
Kesemua lelaki berkenaan melarikan diri sejurus serangan berlaku.
Kejadian dipercayai berlaku di kediaman pengantin perempuan di Sulawesi Tengah, Indonesia pada 22 April lalu.
Ketua Polis Kasimbar, Inspektor Arman berkata, mangsa yang diserang mengalami kecederaan di bahagian muka.
Menurutnya, keterangan beberapa saksi kejadian diambil serta ahli keluarga diarah tampil untuk memberikan kerjasama bagi membantu siasatan.
Arman berkata, pihaknya masih menyiasat motif serangan terhadap mangsa.
Menurut beliau, mangsa mendakwa dirinya tidak mempunyai masalah dengan suspek termasuk keluarga mentuanya.
"Polis sudah mengenal pasti empat suspek yang disyaki melakukan serangan itu," katanya sambil menambah kes tersebut masih dalam siasatan. -Agensi