SEORANG pelancong lelaki dikritik selepas aksinya yang duduk di atas sebuah kerusi seni halus bertatahkan ribuan kristal Swarovski menjadi remuk.
Insiden berlaku di sebuah muzium seni terkenal di Verona, Itali.
Berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV), pelancong terbabit yang hadir bersama pasangannya dilihat menunggu pengawal keselamatan beredar sebelum bertindak duduk di atas hasil karya seni halus artis Itali Nicola Bolla.
Malah dia dipercayai dengan beraninya melepasi tali penghadang yang dipasang di hadapan arca yang dikenali sebagai 'Kerusi Van Gogh'.
Aksinya untuk bergambar dengan keadaan duduk sepenuhnya menyebabkan kerusi yang penuh dengan kristal mewah itu patah dan hancur di bahagian belakang.
Mereka berdua kemudian segera berlalu keluar dari ruang pameran seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Menyedari insiden tersebut, pihak muzium, Palazzo Maffei Casa Museo, meluahkan rasa kecewa dan marah dan menyifatkan tindakan pelancong berkenaan sebagai bodoh, tidak beradab dan tidak menghormati warisan seni.
“Kami percaya tindakan ini bukanlah kemalangan, tetapi dilakukan dengan sengaja demi suka-suka.
"Ia menunjukkan betapa dangkalnya sikap sesetengah pengunjung,” ujar pengurusan muzium dalam kenyataan rasmi.
Terdahulu, kerusi tersebut berjaya dibaiki oleh pasukan restorasi muzium beberapa hari kemudian, dan kini kembali dipamerkan kepada orang ramai.
Identiti pasangan pelancong itu masih belum dikenalpasti, dan tidak pasti sama ada mereka akan dikenakan tindakan atau perlu membayar ganti rugi. -Agensi