JUMLAH angka kematian dalam tragedi pesawat Air India meningkat kepada 274 orang.
Pesawat yang berlepas ke London dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhai, Ahmedabad di India itu terhempas beberapa minit sejurus berlepas dan merempuh bangunan asrama Hospital Awam Ahmedabad.
Berdasarkan laporan terkini, sumber mengesahkan terdapat lapan lagi mangsa ditemukan terbunuh di lokasi asrama berkenaan.
Kesemua mereka terdiri daripada enam pelajar Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS), seorang doktor muda, dan seorang wanita.
Sebelum ini dilaporkan 265 individu terkorban akibat rempuhan berkenaan.
Pada petang Khamis, pesawat Boeing 787 Dreamliner yang membawa 242 individu termasuk 230 penumpang dan 12 anak kapal terhempas.
Hanya seorang mangsa dilaporkan terselamat iaitu Vishwash Kumar Ramesh, 40, seorang rakyat Britain berketurunan India.
Siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas. -Agensi