BAHARU dua hari berkahwin, seorang wanita mendakwa diseksa secara fizikal oleh suami dan keluarga mentuanya, termasuk dicucuh dengan rokok kerana gagal memenuhi tuntutan hantaran kahwin.
Mangsa, Pinky Saroj, 24, membuat laporan polis pada Khamis lalu terhadap suaminya, Sawan Chaudhary, serta bapa mentuanya, Lalit Narayan Chaudhary, dan kakak iparnya, Aarti.
Menurut laporan, Pinky yang berasal dari Gopiganj, India telah berkahwin dengan Sawan pada 5 Mei 2024.
Namun hanya dalam masa dua hari selepas perkahwinan, suaminya mula menuntut wang tunai sebanyak Rs 50,000 (sekitar RM2,465) bersama televisyen, peti sejuk dan mesin basuh daripada wanita itu.
Lebih mengejutkan, Pinky mendakwa suaminya enggan menjalinkan hubungan suami isteri selepas perkahwinan dan sering mencucuh tubuhnya dengan rokok sambil mendesak supaya tuntutan mas kahwin dipenuhi.
Dia turut mendakwa sering diserang secara fizikal oleh bapa mentua dan kakak iparnya.
Ketua Polis Daerah memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan dan arahan telah dikeluarkan untuk menangkap semua suspek dalam masa terdekat. -Agensi