SEORANG remaja lelaki berusia 17 tahun yang secara tidak sengaja merakam detik-detik awal nahas pesawat Air India AI 171 pada Khamis lalu, telah tampil memberikan kenyataan kepada pihak polis.
Remaja terbabit, yang dikenali sebagai Aryan, secara tidak sengaja merakam insiden tragis itu menggunakan telefon bimbitnya berhampiran rumah sewanya yang terletak berdekatan lapangan terbang.
Video rakaman Aryan, yang memaparkan detik awal pesawat sebelum bertukar menjadi 'bola api', menjadi tular dan antara rakaman terawal tragedi tersebut.
Menurut Aryan, dia hanya berniat merakam pesawat berkenaan secara santai, tanpa mengetahui apa yang bakal berlaku.
"Saya hanya merakam pesawat itu. Dalam masa 24 saat selepas itu, ia terhempas. Saya sangat takut," katanya sambil mengakui bahawa kakaknya adalah individu pertama yang menonton video berkenaan.
Sementara itu, pemilik rumah yang disewa Aryan serta keluarganya berkata, remaja berkenaan mengalami trauma selepas kejadian.
"Selepas kejadian, dia tidak boleh bercakap. Saya cuba menenangkannya. Dia jug berjaga sepanjang malam, tidak bercakap dan tidak makan apa-apa," katanya. -Agensi