suria

Lelaki terselamat tragedi pesawat terhempas 1998 meremang dapat tahu mangsa Air India juga duduk di kerusi 11A

Ruangsak (kiri) terkejut selepas dapat tahu berita mengenai penumpang Air India terselamat itu.

SEORANG penumpang yang pernah terselamat dalam nahas udara 27 tahun lalu meluahkan rasa terkejut apabila mengetahui satu-satunya mangsa terlepas maut dalam tragedi pesawat Air India duduk di kerusi sama dengannya.

Mangsa yang terselamat, Ramesh Vishwaskumar Bucharvada, 40, warganegara Britain keturunan India, dilaporkan duduk di kerusi 11A dalam pesawat AI171 yang terhempas selepas berlepas dari Ahmedabad menuju ke London Gatwick pada Khamis lalu.

Individu yang berkongsi kisah itu merupakan penyanyi dan pelakon Thailand, Ruangsak James Loychusak, 47, yang juga duduk di kerusi 11A ketika terselamat dalam nahas Thai Airways TG261 pada 11 Disember 1998.

Pesawat dari Bangkok ke Surat Thani berkenaan terhempas di kawasan ladang getah, mengorbankan 101 daripada 132 penumpang dan 14 kru. 

Ruangsak berkata dia masih ingat bunyi, bau dan rasa air paya di lokasi pesawat itu jatuh.

"Satu-satunya mangsa selamat dalam nahas India itu duduk di kerusi 11A… sama macam saya. #Meremang.

"Saya ucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi itu," katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Jumaat.

Tambahnya, dia mengalami trauma selama 10 tahun selepas kejadian dan sukar untuk menaiki pesawat kerana sering berasa takut, terutama ketika melihat ribut atau awan gelap di luar tingkap.

Ramesh pula dilaporkan berjaya menyelamatkan diri selepas pesawat Air India yang dinaikinya terhempas ke kawasan perumahan dan meletup. 

Bagaimanapun, abang Ramesh yang duduk di kerusi 11J antara 242 yang terkorban termasuk 230 penumpang dan 12 anak kapal.

Ramesh duduk berhampiran pintu kecemasan yang tercabut ketika impak, dan masih menyimpan pas masuk penerbangan ketika ditemui. 

Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas melibatkan pesawat Boeing 787 Dreamliner itu. -Agensi

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia