suria

Kanak-kanak antara 7 maut dalam nahas helikopter selepas pulang dari kuil

Lokasi nahas helikopter di kawasan hutan Gaurikund. -Foto media sosial

SEPASANG suami isteri dan anak perempuan mereka berusia dua tahun merupakan antara tujuh mangsa yang maut selepas sebuah helikopter terhempas di kawasan hutan Gaurikund, Uttarakhand, India, pada Ahad.

Helikopter itu berlepas dari Kuil Kedarnath menuju Guptkashi sekitar pukul 5.30 pagi (waktu tempatan) dan terhempas tidak lama kemudian.

Tujuh mangsa yang maut itu terdiri daripada lima penganut Hindu, juruterbang dan seorang pekerja jawatankuasa Kuil Kedarnath, menurut pihak berkuasa. 

Difahamkan, Kuil Kedarnath yang terletak pada ketinggian 3,584 meter dari aras laut menjadi tumpuan penganut Hindu apabila musim panas.

Sumber turut memaklumkan helikopter milik Aryan Aviation Pvt Ltd itu terhempas di antara Gaurikund dan Trijuginarayan di kawasan Kedarghati, kemudian terbakar.

Biro Siasatan Kemalangan Pesawat (AAIB) telah mengesahkan bahawa mereka akan menjalankan siasatan penuh ke atas nahas tersebut, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Penerbangan Awam.

Nahas ini berlaku hanya beberapa hari selepas insiden tragis pesawat Air India yang terhempas di Ahmedabad, mengorbankan 241 orang di dalam pesawat serta puluhan mangsa lain di darat. -Agensi

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia