suria

Berang anak gadis bawah umur ‘lalok’ hisap rokok elektronik mengandungi dadah, bapa terus panggil polis

Rokok elektronik juga membahayakan kesihatan.

SEORANG remaja perempuan ditahan selepas bapanya menghubungi polis kerana menghisap rokok elektronik mengandungi dadah sintetik dikenali sebagai ‘space oil’ bersama rakan sekelas di rumah.

Rakan remaja terbabit yang juga berusia 15 tahun membawa rokok elektronik ke rumahnya dan memujuk untuk sama-sama menghisap pada 13 Jun lalu.

Apabila ibu remaja itu ternampak kejadian berkenaan, rakan sekelasnya segera membuang rokok elektronik itu ke dalam tong sampah dan melarikan diri dari rumah.

Kejadian dilaporkan berlaku di Kwong Fuk Estate di Tai Po, Hong Kong.

Berang dengan apa yang berlaku, bapa gadis itu terus menghubungi polis pada pukul 2.32 pagi Sabtu selepas mengetahui insiden berkenaan apabila pulang ke rumah.

Gadis tersebut kemudian ditahan kerana disyaki memiliki dadah berbahaya dan rakan sekelasnya kini sedang diburu pihak berkuasa.

Space oil ialah sejenis dadah sintetik yang biasanya dibungkus dalam kapsul rokok elektronik dan mengandungi etomidate, iaitu sejenis bahan bius yang boleh mendatangkan kesan sampingan serius seperti ketagihan, kehilangan ingatan, sawan, pengsan dan juga kematian.

Sejak 14 Februari lalu, kerajaan Hong Kong mengisytiharkan etomidate sebagai dadah berbahaya di bawah Ordinan Dadah Berbahaya.

Mengikut undang-undang, mereka yang didapati mengedar atau menghasilkan bahan tersebut tanpa kebenaran boleh dikenakan hukuman maksimum penjara seumur hidup dan denda sebanyak HK$5 juta (RM3 juta).

Sesiapa yang memiliki atau menggunakannya pula boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda maksimum HK$1 juta (RM600,000).

Setiausaha Keselamatan Hong Kong, Chris Tang Ping-keung, berkata pada Sabtu bahawa sebanyak 324 kes berkaitan ‘space oil’ direkodkan sejak pertengahan Februari, dengan 405 orang telah ditahan. -Agensi

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia