suria

Alami demam panas, doktor terselamat daripada nahas pesawat Air India selepas isteri minta tangguh penerbangan

Dr Umang Patel terselamat daripada menjadi mangsa nahas Air India kerana membatalkan tiket penerbangannya.

SEORANG doktor yang berasal dari Gujerat, India tidak henti-henti melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada isterinya selepas keputusan untuk menangguhkan penerbangan ke London telah menyelamatkan nyawanya daripada menjadi salah seorang mangsa nahas pesawat Air India, Khamis lalu.

Dr Umang Patel, yang kini menetap di Northampton, Britain, sepatutnya menaiki penerbangan Air India ke London pada 12 Jun lalu. 

Namun, beliau membatalkan perjalanannya selepas mengalami demam panas yang teruk beberapa hari sebelum tarikh penerbangan.

Menurut Dr Patel, beliau mula mengalami demam panas selepas melawat rumah keluarga mentuanya pada 9 Jun.

"Demam saya sangat teruk hingga saya tidak dapat bertahan," katanya.

Melihat keadaan kesihatannya yang membimbangkan, isterinya memintanya untuk tidak meneruskan perjalanan dan menangguhkan penerbangan ke satu tarikh lain.

"Isteri saya minta saya berehat dahulu dan jangan ke London. Jadi saya batalkan tiket 12 Jun dan menempah tiket baru pada 15 Jun. 

"Tidak lama selepas itu, berita mengenai nahas pesawat tersebut tersebar. Tuhan telah menyelamatkan saya," ujarnya.

Kisahnya mendapat perhatian penduduk kampung di Koydam, Mahisagar, tempat asal keluarganya, yang hadir memberikan sokongan moral dan kekuatan mental kepada beliau dan keluarganya.

Dr Umang Patel yang menetap di United Kingdom selama lima tahun bersama isteri, anak lelaki, serta datuk dan neneknya, pulang ke India pada 24 Mei lalu untuk melawat rumah sanak saudara di kampung tersebut. -Agensi

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia