suria

Cabut bulu harimau demi azimat, tindakan pelancong cetus kemarahan netizen

Video tular menunjukkan pelancong mencabut bulu pada bahagian perut harimau.

SEKUMPULAN pelancong mencetuskan kemarahan ramai selepas tular satu video menunjukkan mereka mencabut bulu seekor harimau yang sedang berehat di kawasan pameran.

Kejadian itu berlaku di zon khas sebuah zoo yang terletak di wilayah Liaoning, timur laut China.

Dalam video yang tular di media sosial, beberapa pelancong dilihat menarik bulu dari perut dan ekor harimau tersebut. 

"Mari kita tarik lagi! Bulu harimau menghindarkan kejahatan dan melindungi rumah," kedengaran suara seorang pelancong.

Tindakan itu dipercayai berpunca daripada kepercayaan dalam budaya tradisional Cina bahawa bulu harimau memiliki kuasa untuk menangkis roh jahat, membawa tuah dan melindungi kediaman.

Harimau juga dilihat sebagai simbol keberanian, kekuatan, serta kuasa negara, dan dikaitkan dengan jeneral dan dewa perang dalam sejarah China purba.

Namun, tindakan pelancong itu menerima kecaman hebat daripada pihak zoo serta warga maya.

"Menyentuh haiwan adalah dilarang sama sekali di zoo. Kami telah cuba menghalang pelawat terbabit, tetapi tidak berjaya," kata seorang penjaga zoo kepada media tempatan Dianshi News.

Pihak zoo menegaskan bahawa mencabut bulu harimau boleh menyebabkan tekanan terhadap haiwan tersebut dan berisiko mencetuskan tingkah laku agresif.

Setakat ini, tidak diketahui sama ada pelancong yang terlibat akan dikenakan sebarang tindakan atau hukuman. 

Namun, pihak zoo menyeru agar pengunjung menunjukkan sikap lebih bertanggungjawab terhadap haiwan. -Agensi

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia