SEGELINTIR pemain industri mula menyuarakan kebimbangan selepas aplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI) diguna secara meluas.
Terbaharu, sebuah syarikat teknologi meluahkan kekecewaan apabila seramai 450 calon temuduga gagal melepasi ujian kemasukan ke jawatan yang ditawarkan.
Ia berikutan kesemua mereka didakwa bergantung sepenuhnya pada teknologi AI bagi proses pengekodan tanpa benar-benar memahami asas kod yang dihasilkan.
"Baru-baru ini kami menyiarkan kekosongan jawatan di LinkedIn untuk peranan Junior Frontend/Backend Devs dan QA dengan tawaran julat gaji mencecah 20 lakh Indian Rupee (RM98,749).
"Kesemua pemohon yang berjaya melepasi saringan boleh menggunakan GPT untuk menyelesaikan masalah.
"Namun, apabila kami bertanya tentang kerumitan masa atau ruang dan penjelasan tentang kod yang ditulis, ramai yang tidak dapat menjawab," tambahnya.
Bukan itu sahaja, firma terbabit turut mendakwa terdapat ramai calon yang 'copy-paste' kod daripada AI tanpa memahami asasnya.
Masalah yang dialami itu membuatkan mereka mempersoalkan sama ada terdapat kesilapan dalam proses pengambilan pekerja atau sebaliknya.
"Kami buat kesilapan dalam proses pengambilan pekerja atau sudah tiba masanya untuk pembangun junior menyedari kepentingan memahami kod sebelum menampalnya daripada GPT," kata syarikat itu.
Terdahulu, firma berkenaan menerima 12,000 permohonan daripada pelbagai latar belakang masyarakat.
Seramai 10,000 daripadanya tidak memenuhi kriteria kemahiran yang diingini dan hanya 450 calon yang melepasi tapisan awal serta layak ditemuduga. -Agensi