SEBUAH bas persendirian terbalik dan terjunam ke dalam gaung ketika hujan lebat pada Selasa pagi.
Bas yang membawa 18 penumpang itu dikatakan hilang kawalan dan meluncur laju menuruni cerun sebelum terbalik sekitar pukul 9 pagi.
Menurut polis, 18 penumpang termasuk pemandu dan konduktor cedera dalam insiden itu dengan seorang dilaporkan kritikal.
Kejadian berlaku di kawasan Kalkhar, daerah Mandi, Himachal Pradesh, India.
Sejurus terbabas, penduduk kampung memulakan operasi menyelamat dan bantuan.
Ambulans dan kenderaan persendirian digunakan untuk membawa mangsa yang cedera ke hospital terdekat.
Setelah menerima maklumat mengenai kemalangan itu, pasukan polis dan pihak pentadbiran turut tiba di lokasi menyertai usaha menyelamat.
Pegawai Bertugas (SHO) Balai Polis Hatli, Sub Inspektor Brij Lal berkata bas itu terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 45 hingga 60 meter.
"Hampir semua penumpang, termasuk pemandu dan konduktor, berjaya diselamatkan. Keadaan seorang penumpang adalah sangat kritikal.
"Beberapa penumpang berjaya keluar sendiri dari bas yang rosak tanpa memerlukan bantuan luar.
"Pemandu bas gagal mengawal kenderaan ketika menuruni bukit melalui selekoh tajam. Kejadian berlaku semasa hujan," katanya.
Sementara itu, menurut sumber, salah seorang mangsa yang cedera dan terperangkap di bawah bas yang terbalik disangka telah meninggal dunia di tempat kejadian.
"Namun, apabila diperiksa oleh kakitangan perubatan, mangsa masih bernafas dan mempunyai denyutan nadi.
"Dia segera dikejarkan ke hospital berdekatan, di mana doktor mengesahkan keadaannya kritikal,” katanya. -Agensi