suria

Hasrat kahwin, hidup bersama di Amerika terkubur... Pasangan ini sukar bersatu, cuma mampu bercinta dalam talian

Pasangan ini berkenalan dan sering berhubung melalui panggilan video.

MAJLIS perkahwinan yang sepatutnya berlangsung di Kaherah, Mesir bulan depan terpaksa ditangguhkan saat akhir apabila pengantin perempuan tidak dibenarkan memasuki Amerika Syarikat (AS).

Pasangan pelarian dari Sudan ini, Mohamed Abdo, 44, dan tunangnya, Hana Abdalaziz, 34, masing-masing tinggal di dua benua berbeza selepas melarikan diri akibat konflik di negara asal mereka.

Abdo kini menetap di Virginia, AS, manakala Hana hidup sebagai pelarian di Kaherah. 

Mereka diperkenalkan oleh saudara terdekat pada tahun lalu dan mula mengenali hati budi masing-masing melalui panggilan video di aplikasi WhatsApp. 

Mereka menjalinkan hubungan jarak jauh, terpisah sejauh lebih 10,000 kilometer tetapi merancang untuk 'bersatu' dengan berkahwin serta memulakan hidup baharu di AS.

Beberapa bulan selepas berkenalan, Abdo yang mempunyai ijazah dalam bidang kejuruteraan elektrik mengambil keputusan untuk melamar Hana dengan mengirimkan cincin kepadanya.

Malah, satu majlis kecil pertunangan diadakan bersama keluarga Hana sebagai tanda rasmi ikatan mereka.

Segala persiapan majlis perkahwinan termasuk tiket penerbangan ke AS, jemputan serta dokumen perpindahan sudah diuruskan. 

Namun impian itu terhenti apabila Presiden AS, Donald Trump mengenakan sekatan perjalanan melibatkan 12 negara, termasuk Sudan.

Meskipun Abdo yang memiliki kad hijau masih dibenarkan keluar masuk AS, sekatan tersebut tidak memberi kelonggaran kepada Hana. 

Mereka juga bimbang sekiranya Abdo ke Mesir, dia mungkin tidak dibenarkan kembali ke AS.

Atas faktor itu, mereka terpaksa akur menangguhkan majlis perkahwinan dan meneruskan kehidupan secara berjauhan. -The Washington Post

 

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia