SEORANG bapa dan seorang anak lelakinya maut bersama dua yang lain apabila jambatan besi tua di atas sungai Indrayani runtuh di daerah Pune.
Tragedi malang itu berlaku sempena perkelahan Hari Bapa yang dirancang oleh mereka berdua.
Rohit Mane, 32, dan anak lelakinya Vihan yang berusia enam tahun meninggal dunia, manakala ibu kanak-kanak itu dan 17 yang lain cedera parah dalam kejadian yang berlaku di kawasan Kundmala di Maval tenshil sekitar 3.30 petang Ahad.
Difahamkan lebih 100 orang berada di jambatan itu semasa runtuhan berlaku.
Menurut seorang saudaranya, Shamika Mane sedang menjalani pembedahan kerana kedua-dua kakinya cedera parah selepas dia terjatuh ke dalam sungai apabila jambatan itu putus.
"Ia adalah hari Ahad yang menggembirakan untuk Rohit, Vihan, dan Shamika kerana mereka meraikan Hari Bapa.
"Mereka juga telah menyiarkan status di media sosial dan menandakan hari itu dengan pergi berkelah ke Kundmala," katanya yang mendapat berita kemalangan itu kira-kira pukul 4.30 petang.
Susulan daripada itu, dia bergegas ke tempat kejadian dan dimaklumkan bahawa Shamika telah dimasukkan ke hospital, manakala Rohit dan Vihan hilang.
"Pada sebelah petang, saya diberitahu bahawa dua mayat telah ditemui, dan menerusi proses pengecaman, ia ternyata mereka," katanya.
Rohit Mane berasal dari Kolhapur dan bekerja di firma perisian di Pune.