suria

Akauntan tinggalkan nota tiga muka surat, terbongkar punca ‘cabut’ nyawa sendiri

Masalah kewangan boleh membuatkan manusia tertekan dan hilang pertimbangan. -Gambar hiasan

DUA individu termasuk seorang wanita, didakwa atas kesalahan bersubahat dalam kes bunuh diri seorang akauntan bertauliah (CA) berusia 32 tahun.

Mangsa, dikenali sebagai Raj More dipercayai mengambil minuman beracun selepas mengalami kerugian lebih 3 juta rupee (sekitar RM1.7 juta) akibat pemerasan berkait video dewasa, pada Ahad lalu.

Menurut polis, mangsa juga didakwa menyeleweng wang dari akaun syarikat tempatnya bekerja untuk membayar pihak yang memeras ugut, dikenal pasti sebagai Rahul Parwani dan Saba Qureshi.

Perkara ini terbongkar apabila mangsa meninggalkan nota bunuh diri sepanjang tiga muka surat, yang menamakan kedua-dua suspek sebagai pihak bertanggungjawab atas kematiannya. 

Kejadian berlaku di Mumbai, India.

Berdasarkan nota bunuh diri itu, dia mendakwa telah diperas ugut selama 18 bulan menggunakan video berunsur homoseksual bersama Rahul.

Difahamkan, mangsa mula berkenalan dengan Rahul menerusi Instagram pada September 2024. 

Mereka kemudiannya bertukar nombor telefon dan turut menjalinkan hubungan intim di beberapa lokasi. 

Sepanjang pertemuan itu, Rahul didakwa merakam video bagi tujuan melakukan pemerasan untuk menyebarkan rakaman berkenaan selain didakwa turut mengambil sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) Thar milik mangsa, tanpa membayar ansuran bulanan. 

Tekanan yang dihadapi membuatkan mangsa memindahkan sejumlah besar wang, termasuk dana yang diseleweng dari akaun syarikat kepada suspek.

Dia kemudian bertindak minum racun selepas ibunya didakwa turut menjadi mangsa serangan daripada kedua-dua suspek. -Agensi

Artikel Lain