suria

Mak ayah obses gaya hidup sihat bawa bayi 10 bulan masuk sauna, mandi ais... Mangsa kini alami kerosakan otak kekal

Pendedahan kepada cuaca panas dan sejuk melampau boleh merosakkan kesihatan bayi. -Gambar hiasan AI

SEPASANG suami isteri vegan ekstrem di Amerika Syarikat didapati bersalah kerana mendera anak lelaki mereka sehingga mengalami kerosakan otak kekal.

Lebih menambah rasa sedih apabila kesan 'penderaan' itu membuatkan mangsa tidak boleh berjalan mahupun bercakap atau melihat seumur hidup.

Menurut laporan media tempatan, mangsa didedahkan dalam keadaan sauna yang panas melampau dan mandian ais oleh ibu dan ayahnya, John Gonzalez, 38, serta Jaqueline Navarro, 45.

Pasangan terbabit juga menolak susu badan dan formula kerana percaya ia mengandungi 'racun'.

Mereka juga taksub dengan dakwaan kelaparan mampu menyembuhkan penyakit.

Susulan tindakan berkenaan, mangsa yang ketika itu berusia 10 bulan, dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal dengan wajah pucat, terlalu kurus dan mengalami sawan.

Laporan perubatan juga mengesahkan paras gula yang amat rendah dalam badan mangsa. 

Dia kini berumur lima tahun dan dijaga oleh nenek sebelah bapanya, yang sebelum ini telah beberapa kali melaporkan keadaan cucunya kepada pihak berkuasa.

Pasangan itu disabitkan atas kesalahan penderaan dan kecederaan serius terhadap kanak-kanak bawah lima tahun. 

Jabatan Kebajikan turut didapati cuai dan membayar pampasan kira-kira RM150 juta (USD32 juta) kepada nenek mangsa. 

Mereka kini ditahan tanpa jaminan dan akan dijatuhkan hukuman pada 25 Julai. -Agensi

Artikel Lain