SEORANG lelaki Itali berusia 35 tahun maut selepas 'disedut' ke dalam enjin pesawat di Lapangan Terbang Bergamo, utara Itali pada 8 Julai.
Kejadian berlaku pada pukul 10.35 pagi waktu tempatan.
Mangsa dikenali sebagai Andrea Russo dari daerah Calcinate di Bergamo.
Menurut laporan, mangsa bukan penumpang mahupun kakitangan yang terlibat dalam penerbangan yang dijadualkan berlepas ke Sepanyol.
Dia dipercayai menceroboh masuk [Tonton Video] ke kawasan larangan selepas memandu secara bertentangan arah ke terminal.
Tindakannya itu berterusan sehingga ke pintu kecemasan sebelum dilihat berlari ke arah sebuah pesawat Volotea berkenaan.
Anggota keselamatan cuba mengejarnya, namun gagal menghalang sebelum tragedi berlaku.
Dalam pada itu, Syarikat Volotea mengesahkan insiden itu dan memaklumkan semua 154 penumpang serta enam kru selamat.
Mereka turut menyediakan sokongan psikologi kepada yang terkesan.
Untuk rekod, Lapangan Terbang Bergamo adalah yang ketiga terbesar di Itali.
Insiden yang berlaku membuatkan pengoperasiannya tergendala seketika dengan 19 penerbangan ditangguhkan sebelum disambung semula tengah hari. -Agensi