suria

Raih perhatian jual aiskrim, graduan perubatan dakwa bekas pensyarah minta padam video tular… Beri alasan jejas reputasi kolej

Li memilih untuk menjual aiskrim biarpun mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang pengimejan perubatan. -Foto SCMP

SEORANG wanita yang merupakan graduan perubatan menarik perhatian warga maya apabila memilih untuk menjual aiskrim di jalanan berbanding menceburi kerjaya profesional.

Namun, kisah wanita yang hanya dikenali sebagai Li itu mengundang kontroversi apabila dia mendakwa pihak kolej dan bekas pensyarah menggesanya memadam video ketika sedang berniaga kerana dianggap memalukan.

Li menamatkan pengajian tiga tahun lalu di Kolej Zhongshan, Universiti Perubatan Dalian, di wilayah Liaoning, China. 

Graduan ijazah sarjana muda dalam bidang pengimejan perubatan itu menerima tawaran bekerja di sebuah hospital utama di wilayah autonomi Guangxi Zhuang selepas tamat pengajian.

Li menerusi videonya turut mendedahkan dia akhirnya  meletakkan jawatan, namun tidak menjelaskan mengenainya lebih lanjut. 

Pada April lalu, Li memulakan perniagaan menjual aiskrim mangga secara kecil-kecilan di Hechi, Guangxi untuk menampung perbelanjaan bagi menduduki peperiksaan kelayakan perkhidmatan awam. 

Videonya menjadi tular apabila meraih hamper lima juta tontonan dan menerima lebih 100,000 tanda suka.

Namun menurut Li, dia menerima panggilan telefon pada hujung bulan lalu daripada seorang bekas pensyarah bernama Chen yang menggesanya memadam video tersebut, atas alasan ia menjejaskan reputasi institusi dan mampu mengundang kebimbangan dalam kalangan pelajar mengenai masa depan mereka.

Pihak institusi tampil menafikan dakwaan bahawa mereka memaksa Li memadam videonya, sebaliknya menegaskan mereka memberi sokongan terhadap pelbagai bentuk peluang kerjaya.

Li kemudian memuat naik semula video asalnya ke media sosial dan mencabar pihak berkaitan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya jika dia mengada-adakan cerita.

Warga maya bagaimanapun tampil memberikan sokongan padu kepada Li, dengan ramai yang memuji keberaniannya memilih haluan sendiri demi kelangsungan hidup.

Sebilangan netizen turut menyelar tindakan institusi dan pensyarah terbabit, menyifatkannya sebagai tidak wajar dan menekan graduan yang cuba berdikari. -Agensi

Artikel Lain