suria

Lelaki nyaris dihanyutkan arus deras, tuduh isteri sengaja tolak dalam sungai ketika selfie

Seorang lelaki diselamatkan penduduk selepas terjatuh ke dalam sungai di Jambatan Gurjapur dekat Karnataka.

SEORANG wanita didakwa menolak suaminya ke dalam sungai ketika mereka sedang mengambil gambar swafoto berhampiran jambatan.

Menurut laporan media tempatan, pasangan tersebut memberhentikan basikal mereka di atas Jambatan Gurjapur di Yadgir, dekat Karnataka, India, sebelum insiden tersebut berlaku.

Wanita itu dikatakan menolak suaminya ke dalam sungai sebelum cuba berdalih dengan mendakwa suaminya tergelincir secara tidak sengaja.

Nasib menyebelahi lelaki tersebut apabila dia sempat berpaut pada batu dan menjerit meminta pertolongan. 

Penduduk tempatan yang melihat kejadian tersebut segera bertindak menyelamatkan lelaki itu dengan menggunakan tali.

Setelah diselamatkan, lelaki itu mendakwa bahawa isterinya sengaja menolaknya ke dalam sungai, namun wanita itu menafikan tuduhan tersebut.

“Saya diminta berdiri di tepi jambatan menghadap sungai untuk bergambar. Kerana mempercayainya, saya berdiri di situ sebelum tiba-tiba dia menolak saya ke dalam sungai yang deras, cuba membunuh saya. 

"Saya hanyut dibawa arus tetapi berjaya mencengkam batu di tengah sungai dan menjerit meminta pertolongan," jelasnya dalam aduan yang dibuat.

Difahamkan kes tersebut kini dalam siasatan pihak polis. -Agensi

 

Artikel Lain