SEORANG lelaki mencuri tumpuan di media sosial selepas membeli sebuah keranda untuk ibunya yang berusia 70-an dan mengupah 16 lelaki untuk mengusungnya pulang ke rumah.
Apa yang luar biasa, keranda tersebut dibeli bukan untuk upacara pengebumian, sebaliknya sebagai simbol 'ketaatan' seorang anak.
Lelaki yang tidak dikenali dari Pekan Shuangxikou, daerah Taoyuan di wilayah Hunan, China itu dipercayai mahu memberi penghormatan istimewa kepada ibunya yang sudah lanjut usia.
Dia turut mengupah 16 lelaki untuk mengusung ibunya yang kelihatan gembira berada di dalam keranda sambil memegang kipas tangan.
Menurut kepercayaan kuno, tindakan tersebut bukan sahaja menunjukkan penghormatan seorang anak kepada orang tua, malah dipercayai membawa nasib baik, umur panjang dan keberkatan.
Rakaman video yang tular menunjukkan wanita warga emas itu tersenyum gembira ketika diusung di dalam keranda tersebut.
Sebaik tiba di rumah, satu upacara dijalankan termasuk pembakaran kemenyan dan persembahan tradisional.
Seorang penduduk kampung yang turut serta dalam acara tersebut memberitahu media tempatan bahawa ini bukan kali pertama upacara sedemikian diadakan.
"Ia bertujuan untuk menzahirkan penghormatan anak kepada ibu bapa. Ia adalah tradisi penduduk luar bandar," ujarnya.
Di kebanyakan kawasan luar bandar di China, adalah amalan biasa untuk warga emas yang mencapai usia 70 tahun atau lebih untuk menyediakan keranda lebih awal dan menyimpannya di rumah sebagai persediaan serta simbol penerimaan yang damai terhadap fitrah kehidupan dan kematian. -Agensi