suria

Lelaki kelar leher sendiri, alami halusinasi akibat pengambilan dadah

Sebilau pisau yang dipercayai digunakan mangsa untuk mengelar lehernya sendiri. -Foto The Phuket News

SEORANG lelaki bertarung nyawa selepas bertindak mengelar lehernya sendiri, dipercayai berpunca daripada halusinasi akibat pengambilan dadah.

Menurut kenyataan polis, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi di sebuah bangsal berhampiran Wat Manik, Srisoonthorn, dekat Phuket kira-kira pukul 1.30 tengah hari Khamis lalu, selepas menerima panggilan mengenai seorang lelaki cedera parah dan mengalami pendarahan yang banyak.

Apabila pasukan polis dan petugas kesihatan tiba di lokasi, mereka mendapati lelaki berusia 41 tahun itu terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.

Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami luka dalam sepanjang 20 sentimeter di kerongkong, namun masih bernyawa.

Sebilah pisau yang berlumuran darah turut ditemui di tempat kejadian. 

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Thalang untuk rawatan kecemasan.

Siasatan awal polis mendapati mangsa tinggal bersendirian dan mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah, selain pernah menerima rawatan untuk masalah psikologi.

Jurucakap polis yang memetik kenyataan waris berkata, mangsa sering berhalusinasi malah sering bertindak agresif menyebabkan keluarga tidak mampu menjaganya.  

Polis percaya kejadian tersebut berkemungkinan besar berpunca daripada gangguan mental yang teruk akibat pengambilan dadah, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sebarang unsur jenayah.

"Lelaki itu sedang menerima rawatan dan masih dalam pemerhatian," kata jurucakap polis. -Agensi

Artikel Lain