suria

Masuk gelanggang secara tiba-tiba, warga emas maut terkena taji ayam sabung

Ayam sabung lazimnya akan dipasang taji yang tajam pada bahagian kaki. -Gambar hiasan

SEORANG warga emas berusia 73 tahun maut selepas mengalami pendarahan teruk akibat terkena taji ayam sabung.

Menurut Ketua Perhubungan Awam Polis Luwu Timur, Briged A Muh Taufik, dalam kejadian yang berlaku di sebuah arena sabung ayam di Desa Lamenai, Kabupaten Luwu Timur pada petang Sabtu, mangsa mengalami kecederaan teruk di kaki kiri apabila seekor ayam laga yang sedang bertarung secara tiba-tiba menyerang dan menikamnya dengan taji pada bahagian tersebut.

"Mangsa yang merupakan penduduk Daerah Malili hadir menonton pertandingan sabung ayam di lokasi berkenaan.

"Mangsa kemudiannya memasuki gelanggang secara tiba-tiba, dan ayam laga yang sedang bertanding terus menyerang kaki kirinya dengan taji.

"Mangsa mengalami luka sepanjang 15 sentimeter (cm) di paha kiri, dan luka 5 cm di betis. Ketika dikejarkan ke hospital, tahap kesedarannya menurun secara drastik. Selepas menerima rawatan, mangsa disahkan meninggal dunia sekitar pukul 4.45 petang hari yang sama akibat kecederaan yang dialami," ujar Taufik.

Ujarnya lagi, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kematian warga emas tersebut sambil menambah, tindakan tegas juga akan diambil terhadap pihak yang mengendalikan arena sabung ayam berkenaan. -Agensi

Artikel Lain