suria

Naik pesawat ke Karachi, tapi mendarat di Jeddah... Lelaki tuntut pampasan gara-gara kecuaian syarikat penerbangan

Shahzain menuntut bayaran pampasan daripada sebuah syarikat penerbangan selepas dia 'diterbangkan' ke destinasi yang salah. -Foto ARY News

SEORANG lelaki bertindak menghantar notis undang-undang kepada sebuah syarikat penerbangan swasta bagi menuntut bayaran pampasan selepas dia 'diterbangkan' ke destinasi yang salah.

Difahamkan, lelaki yang dikenali sebagai Shahzain, sepatutnya menaiki pesawat yang dijadualkan berlepas ke Karachi dari Lahore, Pakistan namun secara tidak sengaja 'menumpang' penerbangan ke Jeddah, Arab Saudi.

Menurutnya, kedua-dua pesawat ketika itu berada di Balai Pelepasan Domestik.

Meskipun menunjukkan pas penerbangan (boarding pass) kepada pramugari sebelum menaiki pesawat, Shahzain mendakwa dia sama sekali tidak dimaklumkan telah memasuki pesawat yang salah.

"Setelah dua jam perjalanan, saya mula mempersoalkan mengapa pesawat masih belum tiba ke Karachi.

"Mendengarkan hal tersebut, kru terus panik dan menyalahkan saya atas kecuaian," kata Shahzain.

Apabila merayu syarikat penerbangan terbabit untuk membawanya ke Karachi, dia malah diberitahu bahawa ianya hanya akan mengambil masa selama dua hingga tiga hari.

Dalam pada itu, penyelia Lapangan Terbang Lahore menyifatkan insiden tersebut berpunca daripada kelemahan sistem pengurusan syarikat penerbangan.

Kecuaian menerbangkan seorang penumpang ke luar negara tanpa pasport dan visa mengakibatkan syarikat penerbangan itu kini berada dalam pemantauan.

"Kes diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut," katanya. -Agensi

Artikel Lain