suria

Tak nak orang pinjam duit, wanita belanja jutaan ringgit beli barang online! Rumah habis ruang, sewa pula apartment lain

Rumah warga emas penuh dengan bungkusan tidak dibuka. -Foto Douyin

SEORANG warga emas membelanjakan wangnya bernilai jutaan ringgit untuk membeli barangan secara dalam talian sehingga terpaksa menyewa rumah kedua semata-mata untuk menyimpan bungkusan-bungkusan yang tidak pernah dibuka.

Wanita berusia 66 tahun itu membeli pelbagai barangan seperti kosmetik, suplemen kesihatan dan barang kemas dengan kebanyakannya melalui sesi penstriman langsung.

Kejadian dilaporkan berlaku di Shanghai, China dengan wanita itu dikenali sebagai Wang.

Setakat ini Wang telah membelanjakan lebih dua juta yuan. (RM1.3 juta) untuk membeli barang-barangnya secara 'online'.

Kondisi rumah Wang yang berselerak dan berbau busuk menyebabkan jiran-jirannya membuat aduan, termasuk laporan adanya lipas dan lalat di sekitar unit pangsapurinya.

Wang yang tinggal bersendirian mengakui dirinya ketagih membeli-belah dalam talian dan menyatakan sengaja menghabiskan wang agar tiada ahli keluarga atau rakan cuba meminjam daripadanya.

“Saya jual rumah lama di kawasan bandar dan beli rumah di pinggir bandar. Bila orang lihat rumah penuh barang, mereka akan rasa tak sesuai nak pinjam duit daripada saya,” katanya.

Menurut pegawai jawatankuasa perumahan tempatan, anak perempuan Wang kini tinggal di luar negara dan saudara-maranya pula jarang melawat.

Walaupun mereka cuba campur tangan, masalah pembelian secara melampau itu masih berterusan.

Pihak pengurusan perumahan pernah menjalankan operasi pembersihan tahun lalu dengan keizinan Wang, namun keadaan kembali seperti sediakala selepas itu.

Pakar psikiatri dari Shanghai Mental Health Centre, Dr Shi Yanfeng, memaklumkan bahawa gangguan mengumpul barangan sering dikaitkan dengan kemurungan dan kegelisahan sosial, dengan rawatannya memerlukan pendekatan jangka panjang.-Agensi

Artikel Lain