SEKURANG-kurangnya 19 orang maut termasuk juruterbang, manakala 164 lagi cedera selepas jet latihan tentera udara Bangladesh terhempas di sebuah sekolah di ibu negara, Dhaka.
Rakaman dari Sekolah dan Kolej Milestone di pinggir utara utara menunjukkan kebakaran besar dan asap tebal, selepas pesawat itu merempuh bangunan dua tingkat.
Difahamkan umur pelajar yang menghadiri sekolah itu adalah antara empat hingga 18 tahun.
Angkatan bersenjata itu dalam satu kenyataan di Facebook berkata, jet F-7 mengalami kerosakan mekanikal selepas berlepas untuk latihan pada pukul 1 petang waktu tempatan.
"Juruterbang, Leftenan Penerbangan Md Taukir Islam, telah cuba mengemudi jet ke kawasan kurang penduduk selepas kerosakan mekanikal berlaku.
"Pada masa itu, dia baru sahaja berlepas dari pangkalan tentera udara di ibu negara," tambahnya.
Kenyataan itu turut memaklumkan, satu jawatankuasa siasatan telah dibentuk untuk meneliti nahas berkenaan.
Sementara itu, seorang doktor di Institut Kebakaran dan Pembedahan Plastik Kebangsaan berkata, lebih 50 orang termasuk kanak-kanak dan orang dewasa dibawa ke hospital kerana melecur.
Mangsa yang cedera telah dipindahkan ke hospital berdekatan, manakala pasukan kecemasan meneruskan operasi menyelamat di tempat kejadian.
Dalam pada itu, ketua kerajaan sementara Bangladesh Muhammad Yunus, berkata, langkah perlu akan diambil untuk menyiasat punca kejadian dan memastikan semua jenis bantuan disalurkan.
"Ini adalah detik kesedihan yang mendalam bagi negara.
"Saya berharap mereka yang cedera cepat sembuh dan mengarahkan semua pihak berkuasa, termasuk hospital terlibat menangani situasi ini dengan sangat penting," katanya dalam catatan di X.
Susulan tragedi ini, Bangladesh mengumumkan hari berkabung pada Selasa.
Bendera negara akan dikibarkan separuh tiang di seluruh negara. -Agensi