SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara lima bulan 10 hari oleh mahkamah atas kesalahan mencuri beras dan tong gas.
Lelaki dikenali sebagai Ma berusia 46 tahun itu didapati bersalah mencuri sekampit beras 20 kilogram (kg) serta dua tong gas masing-masing seberat tiga kg di sebuah warung nasi padang pada 2 Januari 2025.
Ketika perbicaraan, Ma menjelaskan bahawa hasil curi itu tidak dijual, sebaliknya digunakan sepenuhnya untuk memasak di rumah.
Peguamnya, Seri Utami Ningsih, berkata Ma terpaksa berbuat demikian kerana keluarganya benar-benar tidak mempunyai wang atau makanan pada masa itu.
Kejadian berlaku di Curup Tengah, Rejang Lebong, Bengkulu di Indonesia.
Ma didakwa di bawah Pasal 363 Ayat (2) Kanun Keseksaan Indonesia berkaitan kesalahan mencuri dengan pemberatan.
Pendakwaan pada awalnya mencadangkan hukuman enam bulan penjara, namun mahkamah memberikan hukuman lebih ringan.
Walaupun didapati bersalah, Ketua Majlis Hakim, Mantiko Sumanda Moechtar membuat keputusan membebaskan Ma serta merta memandangkan dia menjalani hukuman reman sejak 15 Februari.
Sementara itu, pemilik warung nasi padang bersetuju memaafkan Ma dengan syarat semua kerugian diganti semula.
Keluarga Ma berusaha meminjam wang bagi menebus barang curian tersebut denan sebahagian besar datang daripada isteri dan ibunya sendiri.
Isteri Ma, Novriantini, berkongsi kisah duka keluarganya berkata, suaminya sebelum ini bekerja secara sambilan di sebuah gudang kopi, namun kehilangan kerja selepas premis itu ditutup.
“Dia memang rajin bekerja, tapi gudang tutup dan dia tak ada kerja selama beberapa bulan. Waktu itu, kami betul-betul tak ada beras. Abang cuma nak kami sekeluarga dapat makan,” katanya penuh emosi.-Agensi