suria

Penangan Kpod, remaja terpaksa dihantar ke hospital selepas berkelakuan aneh macam ‘zombie’

Remaja terbabit dibantu sehingga berjaya turun dari jejambat berkenaan. -Foto Facebook Collin

SEORANG remaja lelaki mencetuskan kebimbangan orang awam apabila ditemui dalam keadaan mencurigakan dan berkelakuan pelik di atas jejambat pejalan kaki.

Menurut saksi kejadian, Collin Wee, remaja terbabit dilihat berjalan terhincut-hincut seolah-olah mengalami kekejangan sehingga menjatuhkan telefon bimbit dan vape miliknya. 

Dia juga didakwa bertindak agresif ketika dibantu oleh seorang lelaki yang cuba mengutip barang peribadinya.

Kejadian dilaporkan berlaku berhampiran pusat beli-belah Junction 8 di Singapura, pada petang 16 Julai lalu.

Ujarnya, seorang wanita yang melalui kawasan itu bertindak membantu dan memimpin remaja berkenaan turun dari jejambat.

Namun, sebaik tiba di bawah, Collin mendakwa, remaja terbabit sekali lagi menghisap vape seolah-olah mengalami ketagihan.

Situasi mencemaskan itu menyebabkan beberapa orang awam, termasuk Collin, menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan. 

Sebuah ambulans dan kereta peronda polis tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Collin mendakwa bahawa kejadian tersebut bukan disebabkan vape biasa, tetapi melibatkan penyalahgunaan Kpod.

Kpod merupakan pod vape yang dipercayai dicampur dengan bahan terlarang seperti dadah. -Agensi

Artikel Lain