PUTERA Al-Waleed bin Khaled bin Talal, yang dikenali ramai sebagai 'Putera Tidur', telah menghembuskan nafas terakhir selepas berada dalam keadaan koma selama hampir dua dekad.
Berita duka itu disahkan oleh bapanya, Putera Khaled bin Talal, menerusi hantaran di platform X.
"Dengan hati yang reda terhadap ketentuan dan takdir Allah, serta penuh dukacita dan kesedihan, kami meratapi pemergian anakanda tercinta kami, Putera Al-Waleed bin Khaled bin Talal bin Abdulaziz Al Saud.
"Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada hari ini," tulisnya.
Al-Waleed mangkat pada usia 36 tahun, selepas sekian lama mengharungi tempoh koma susulan kemalangan jalan raya tragik di London pada tahun 2005.
Ketika kejadian, Al-Waleed sedang melanjutkan pengajian di United Kingdom.
Sepanjang tempoh koma Al-Waleed, Putera Khaled bertegas untuk tidak menarik sokongan perubatan terhadap puteranya, berpegang teguh kepada prinsip bahawa soal hidup dan mati adalah ketentuan Allah semata-mata.
Solat jenazah Allahyarham dijadualkan berlangsung pada Ahad selepas solat Asar di Masjid Imam Turki bin Abdullah, Riyadh. -Agensi